Polis India guna ‘Topi Corona’
SIKAP ‘tegas’ pegawai polis India mendapat perhatian dunia apabila mereka mengambil keputusan dengan menyerang orang awam yang gagal mematuhi perintah ‘lockdown’ yang ditempohkan selama 21 hari.
India telah memasuki sesi kuarantin di seluruh negara pada 25 Mac lalu yang mana 1.3 bilion penduduk diperintahkan untuk duduk di rumah dalam usaha untuk menghentikan wabak Covid-19 daripada mengancam sistem penjagaan kesihatan negara itu yang agak lemah.
Ada pihak yang menyokong sepenuhnya tindakan sedemikian kerana menganggap tindakan tegas perlu diambil pada mereka yang berdegil kerana ini isu yang sangat serius.
Selain itu, ada juga yang berpendapat sebaliknya yang mana usaha itu dianggap ganas dan sangat kejam.
Namun, tindakan bijak seorang pegawai polis menggunakan pendekatan yang luar biasa untuk cuba menakutkan penduduk dan mendidik mereka tentang pentingnya duduk di rumah sepanjang tempoh ‘lockdown’ di sana menarik perhatian dunia.
Pegawai polis Chennai, Rajesh Babu bekerjasama dengan artis tempatan bernama Gowtham untuk menghias topi keledar yang digunakan ketika bertugas dalam sekatan jalan raya supaya menyerupai imej coronavirus.
Menurut anggota polis tersebut, walaupun telah banyak cara dilakukan ramai tetap berdegil untuk keluar rumah.
Oleh itu dia memakai topi yang kini digelar topi corona berkenaan supaya wabak tersebut tersemat dalam minda orang ramai sekali gus membuat mereka berfikir dan mengambil serius tentang bahaya wabak yang juga dikenali sebagai Covid-19.
Gambar Babu yang tular telah mengundang netizen untuk memberikan pelbagai komen lucu.
Pencipta topi corona, Gowtham berkata, orang ramai dalam jumlah yang besar belum menganggap ia sebagai wabak yang serius.
“Saya dapat idea ini dan menggunakan topi keledar rosak dan kertas,” ujar Gowtham, artis yang mereka aksesori itu seperti yang dilaporkan India Today.
Kata Inspektor Rajesh Babu pula, pendekatan itu ternyata membawa perubahan positif dalam menanam kesedaran buat orang ramai.
“Kita ambil semua langkah tapi orang masih keluar. Dengan memakai topi corona, kita mahu mereka tahu bahawa ini wabak yang serius.
“Apabila saya pakai, orang ramai akan terbayang mengenai Covid-19.
“Kanak-kanak misalnya, terus ajak balik rumah lepas lihat topi keledar ini,” katanya lagi.
Abang-abang polis Malaysia tak nak tempah satu ke topi corona ni?
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang