UMUM maklum, kerajaan telah memulakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICKids) bagi kanak-kanak lima hingga bawah 12 tahun bermula awal Februari lalu.

Program vaksinasi tersebut dilaksanakan apabila melihat kepada keperluan untuk melindungi populasi kanak-kanak, susulan peningkatan kes Covid-19 dalam kalangan golongan tersebut mutakhir ini.

Namun kini, dos pertama vaksin Covid-19 di bawah PICKids itu hanya akan diberikan sehingga 15 Mei ini dan tidak lagi ditawarkan selepas tarikh berkenaan.

Menurut Timbalan Menteri Kesihatan 1, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali, berikut perinciannya;

1. Tarikh akhir tersebut ditetapkan mesyuarat Jawatankuasa Bertindak Imunisasi Covid-19 Kanak-Kanak (CITF-C) memandangkan permintaan rendah vaksinasi yang boleh menyebabkan pembaziran vaksin yang tinggi.

2. Bagi mengelakkan pembaziran vaksin Comirnaty kanak-kanak yang tidak digunakan dalam tempoh enam bulan selepas dikeluarkan pengilang, penetapan tarikh akhir dos satu itu perlu dibuat.

3. Sehubungan itu mulai 16 Mei 2022, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak lagi menawarkan dos pertama vaksin Covid-19 jenis Comirnaty dan CoronaVac kepada kanak-kanak yang telah berusia lima hingga bawah 12 tahun.

4. Sejak bermula awal Februari lepas sehingga April, hanya seramai 1,371,120 atau 38.6 peratus kanak-kanak telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19 dan 195,865 telah menerima dua dos vaksin Covid-19.

Baca juga Vaksinasi Covid-19 kanak-kanak mulai 3 Februari, berikut 10 info perlu tahu

vaksin kanak-kanak

5. Beliau yang juga Pengerusi CITF-C berkata dengan pengumuman ini, ibu bapa kepada kanak-kanak yang belum menerima vaksin Covid-19, perlu membuat keputusan mengenai vaksinasi sebelum 15 Mei ini.

6. Selepas tarikh tersebut, vaksin Covid-19 kanak-kanak jenis Comirnaty tidak lagi ditawarkan di mana-mana fasiliti kesihatan awam dan swasta di Malaysia. Vaksin Coronavac pula hanya boleh diperolehi dengan bayaran di fasiliti swasta.

7. Bagaimanapun, keputusan itu tidak melibatkan vaksinasi bagi kanak-kanak yang lahir pada 2017 dan belum mencapai usia lima tahun pada 15 Mei ini, sementara perincian mengenai vaksinasi kumpulan tersebut akan diperjelas dalam masa terdekat.

Iklan

8. Sementara itu, ibu bapa yang telah mendaftarkan anak di aplikasi MySejahtera, namun masih belum disuntik akan dihubungi petugas kesihatan sama ada melalui telefon, media sosial atau lawatan ke rumah bagi menawarkan vaksinasi Covid-19 kepada anak-anak mereka.

9. Ibu bapa yang bersetuju akan diberikan tarikh janji temu sebelum tarikh akhir dos pertama.

10. Bagi yang telah berdaftar dalam MySejahtera, ibu bapa perlu mengemas kini tarikh lahir tanggungan untuk mendapatkan pautan janji temu vaksinasi.

Justeru, bagi ibu bapa yang masih belum membuat keputusan untuk tidak melepaskan peluang mendapatkan vaksin secara percuma melalui PICKids sebelum tarikh akhir.

Iklan

Pilihlah untuk vaksinkan anak-anak bagi mengelakkan komplikasi jangkitan Covid-19 yang teruk.

Semoga bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Instagram dan lawati portal SinarPlus

Dapatkan info daripada SinarPlus! Join grup Telegram kami DI SINI