INSIDEN kanak-kanak lemas di dalam bilik air bukanlah sesuatu yang asing dan ia adalah satu kejadian yang sepatutnya tidak dipandang enteng oleh semua kerana melibatkan nyawa.

Ada beberapa kes yang berlaku dilihat adalah akibat kecuaian dan kelalaian sesetengah pihak terhadap si kecil semasa berada di rumah.

Perkara sedemikian turut diulas secara mendalam oleh anggota kesihatan dan perubatan
Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan melalui entri Facebook milik beliau baru-baru ini.

Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan.

Tulisnya, ibu bapa perlu tahu bahawa kanak-kanak boleh lemas di dalam air walaupun kedalamannya hanya 1 inci atau kurang daripada 2.5 sentimeter (cm) sahaja.

Oleh yang demikian, kata pakar itu, ada beberapa perkara yang ibu bapa perlu pastikan untuk mengelak risiko berkenaan. Antaranya:

i. Elak tinggalkan anak mandi sendirian.

Jangan tinggalkan anak mandi sendirian di dalam besen, baldi, tab mandi atau kolam berisi air walaupun untuk seketika. Ingat, jika ibu atau bapa keluar dari bilik air, bawalah anak anda sekali.

ii. Terdapat risiko tergelincir.

Selain lemas, kanak-kanak yang bermain di bilik air sendirian mudah tergelincir dan tersungkur kerana permukaan lantai licin terutamanya bagi mereka yang baru belajar berjalan.

iii. Simpan bekas takungan air.

Ibu bapa juga diingatkan agar kosongkan dan simpan bekas takungan air di tempat yang sesuai selepas menggunakannya supaya anak tidak mengambilnya dan mengisi dengan air tanpa pengawasan.

iv. Tutup bekas takungan air.

Pastinya, ada bilik air mempunyai binaan takungan air yang kekal seperti kolah. Jika tidak boleh kosongkan, maka tutuplah ia.

Iklan

Pun demikian, mangkuk tandas jenis duduk juga seelok-eloknya ditutup agar dapat mengurangan risiko ketika kanak-kanak berada di dalam bilik air.

v. Tutup pintu bilik air.

Sebaliknya, jika tidak boleh kosongkan dan tidak boleh tutup bekas takung ai, maka tutuplah pintu bilik air jika tiada sesiapa menggunakannya. Ia adalah untuk mengelak anak kecil masuk tanpa ibu bapa sedar.

Oleh yang demikian, diharapkan ibu bapa sentiasa mengawal pergerakan anak-anak terutamanya buat mereka yang masih kecil.

Iklan

Ingat, elak sebarang risiko dan jangan menyesal jika sesuatu perkara itu sudah terjadi.

Jika nasi sudah menjadi bubur, ibu bapa hanya perlu reda dan menerima takdir dengan hati yang terbuka sebaiknya.

Oleh itu, semua pihak terutamanya ibu dan bapa atau penjaga perlu sentiasa mengambil langkah berhati-hati dengan memastikan persekitaran sentiasa berada dalam keadaan selamat jika terdapat bayi atau kanak-kanak di dalam rumah. Semoga bermanfaat.