UMUM mengetahui, sejak arahan untuk duduk di rumah kini, semakin ramai yang membuat pesanan makanan secara online.

Tapi… kerisauan muncul di fikiran orang ramai kerana penyakit Covid-19 boleh berjangkit apabila tangan yang telah tercemar dengan virus lalu menyentuh mata, hidung dan mulut membuatkan virus SARS-Cov-2 masuk ke dalam badan.

Jadi, ramai tertanya-tanya selamatkah makanan yang dipesan secara online itu? Ada kemungkinan tak bekas makanan tu dah tercemar dengan virus?

Kita tak nampak virus itu, jadi ia ada ke tidak, kita tak boleh nak tahu kan?

Menurut Pakar Perubatan Kesihatan Awam dan Pensyarah Perubatan Universiti Sultan Zainal Abidin, Dr Safiya Amaran ketika dihubungi Sinar Plus baru-baru ini, beliau mengingatkan semula, walaupun virus boleh ada pada barang, tetapi risiko jangkitan melalui barang adalah lebih rendah dibandingkan jangkitan melalui orang.

Jadi, risiko yang lebih tinggi ialah semasa mengambil barang yang dipesan sebab waktu itulah kita akan berjumpa orang.

Apa kita boleh buat?

Sebolehnya kurangkan bertemu face to face dengan orang lain. Kita tidak tahu siapa yang ada virus ini kerana kajian menunjukkan 30 peratus orang yang dijangkiti tiada gejala langsung, jadi mereka sendiri pun tidak sedar dah dijangkiti SARS-CoV-2.

Jika boleh, pilihlah untuk bayar secara online dan minta makanan diletakkan di depan rumah. Apabila penghantar dah balik baru buka pintu dan ambil makanan tu tau…

Kita boleh cuba elakkan kontak rapat dengan penghantar makanan. Itu lebih selamat untuk kita dan untuk dia juga.

Kalau beli bungkus pula?

Kalau nak tapau atau beli bungkus dekat kedai, pilihlah kedai makan yang prihatin terhadap pencegahan penyakit berkenaan.

Biasanya, kalau kedai itu prihatin, kita boleh tengok ada pekerja yang jaga di depan pintu, mereka aturkan supaya tidak ramai orang dalam kedai pada satu-satu masa dan akan pastikan semua yang masuk ke kedai perlu mencuci tangan atau gunakan cecair sanitasi.

Jika jumpa kedai buat macam itu, bolehlah kita beli dengan lebih tenang kerana kita tahu mereka ambil berat pasal jangkitan kuman dan ambil langkah pencegahan penyakit itu.

Kalau tidak jumpa kedai macam itu dan masih rasa sangat risau kalau plastik atau bungkusan makanan tu tercemar dengan virus, boleh buat macam ini:

Iklan

1. Letak beg plastik dari kedai ke dalam singki. Jangan letak di atas meja atau kabinet.

2. Pindahkan makanan daripada bekas ke pinggan di rumah

3. Buang bekas atau plastik makanan (seeloknya asingkan mengikut kategori barangan kitar semula)

4. Paling penting: betul-betul sebelum makan, basuh tangan hingga bersih menggunakan air dan sabun

Iklan

5. Kalau ada makanan lebih yang nak disimpan, pindahkannay ke dalam bekas sendiri di rumah dan elakkan guna bekas dari luar.

6. Jangan lupa cucilah singki dan kawasan sekitarnya sesudah makan dengan menggunakan cecair sanitasi yang sesuai yang boleh hapuskan SARS-CoV-2.

Jika masih risau, kaedah terbaiknya adalah masak sendiri di rumah, walaupun lauk yang ringkas tetapi rasa lebih puas hati dan tahu tahap kebersihannya.

Penting sekali, jangan lupa basuh tangan sebelum makan!

Selamat menjamu selera.