SEMALAM berita yang mengatakan seorang pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS), Veveonah Mosibin terpaksa memanjat pokok di kampungnya di Pitas, Sabah untuk mendapatkan capaian internet bagi membolehkannya menduduki peperiksaan secara dalam talian adalah tidak benar, tular di laman sosial.

Dakwaan tersebut dibuat oleh Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin pada sesi soal jawab sidang Dewan Negara semalam.

Veveonah dikatakan hanya merupakan seorang Youtuber dan dia tidak menduduki peperiksaan ketika video tersebut dirakam.

Namun, setelah tular dan siasatan dijalankan, ternyata terdapat kesilapan yang mana Zahidi telah menerima maklumat tidak tepat dalam menjawab soalan tambahan yang dikemukakan Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Donald Peter Mojuntin.

Sejurus menyedari hal tersebut, Zahidi tampil memohon maaf kepada Veveonah menerusi akaun Facebook miliknya.

Zahidi yang juga Timbalan Pengerusi UMNO Perlis turut berjanji akan membuat pembetulan mengenainya di Dewan Negara, Isnin depan.

“Merujuk perbahasan di Dewan Negara hari ini, saya ingin membetulkan kenyataan mengenai adik Veveonah Mosibin tidak menjalani sebarang peperiksaan ketika video beliau belajar di atas pokok tular di media sosial.

“Saya telah mendapat maklumat yang tidak tepat dalam menjawab soalan tambahan. Saya ingin memohon maaf kepada adik Veveonah Mosibin dan juga akan membuat pembetulan di Dewan Negara Isnin nanti.

“Semoga adik Veveonah Mosibin terus maju jaya dalam setiap bidang yang diceburi,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook rasminya hari ini.

Sementara itu, Veveonah juga tampil memberikan kenyataan dalam satu sesi temu bual sebuah stesen radio yang dikenali sebagai Kupi Kupi FM.

“Kenyataan itu tidak benar, saya benar-benar menduduki peperiksaan itu dan kami ada jadual yang telah ditetapkan.

“Saya sebenarnya duduki peperiksaan itu pada 9 Jun (Selasa) sehingga 12 Jun (Jumaat), video yang saya ambil sehingga tular itu pada hari Selasa.

Iklan

“Disebabkan peperiksaan itu berjalan selama satu minggu, saya hanya membuat rakaman sepanjang saya menduduki peperiksaan tersebut dan saya muat naik ke laman YouTube pada hari Sabtu selepas tamat peperiksaan, “ Katanya ketika ditemubual oleh satu stesen radio semalam.

Veveonah juga turut kecewa dan kesal dengan apa yang berlaku kerana dakwaan terhadapnya sama sekali tidak berasas.

Namun, dia berasa gembira kerana rakan-rakan sekelas yang turut sama menduduki peperiksaan online tersebut termasuk pensyarah yang mengajar tampil berusaha untuk menjernih dan membetulkan keadaan.

Iklan

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada kawan-kawan dan juga pensyarah yang memahami situasi yang sedang saya alami hari ini.

“Setiap manusia melakukan kesilapan, bagi pihak saya, saya maafkan.. diharap perkara sebegini tidak berulang dan sebetulnya dapatkan pengesahan dahulu sebelum membuat sebarang kenyataan,” katanya.

Terdahulu, Veveonah yang berasal dari Kampung Sapatalang, Pitas, tular di laman sosial apabila video pengalamannya memanjat pokok di kampung demi mendapatkan capaian internet untuk menduduki peperiksaan dalam talian dimuat naik olehnya di YouTube mendapat perhatian ramai serta reaksi positif wargamaya.

Apa pun SinarPlus ingin ucapkan tahniah buat Veveonah kerana berjaya menduduki peperiksaan atas talian walaupun dalam keadaan yang cukup sulit. Berkenaan artiket tular yang  disiarkan semalam, SinarPlus melaporkan apa yang berlaku di dewan negara jer.

Artikel berkaitan : Tiada peperiksaan semasa video tular Veveonah dirakam di atas pokok