Pasangan badak diraikan persis pengantin Melayu. Paluan kompang, makan beradab dan menyambut menantu menantu turut dilangsungkan, penyatuan jiwa Jiwang dan Juwita betul-betul mengikut adat.

Ini menjadikan Jiwang dan Juwita sebagai pasangan badak pertama yang diraikan dengan majlis perkahwinan dan adat Melayu.

Spesies badak air dari Afrika dari dua genetik yang berbeza ini diraikan di dalam satu majlis di Hippo Kingdom, taman tema air Lost World of Tambun (LWOT) lewat petang semalam.

Hidangan lauk kenduri

Ketibaan tetamu pelbagai disambut dengan bunga telur dan dihidangkan menu kenduri seperti nasi minyak, ayam masak merah, udang goreng berempah, kari kambing dan ikan percik.

Pengurus Besar LWOT Nurul Nuzairi Mohd Azahari, memaklumkan Jiwang dan Juwita dibiarkan bersama semenjak tiga bulan lalu untuk penyesuaian. Kenduri yang diadakan pula sebagai simbolik meraikan kehadiran Jiwang sebagai teman Juwita yang bersendirian sejak lima tahun lalu.

Perlu serasi baka

Juwita berusia 21 tahun mempunyai berat kira-kira 1.4 tan manakala Jiwang pula seberat satu tan dan berusia 10 tahun.

Beliau berkata, persiapan penyatuan pasangan itu dibuat sejak Oktober tahun lalu berikutan proses keserasian baka haiwan jenis berkenaan mengambil masa lama.

“Proses menyatukan mereka bukan mudah kerana perlu ada kelulusan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) bagi menentukan sama ada dua haiwan ini boleh duduk dalam tempat sama,” kata Nurul kepada portal berita tempatan.

Iklan

Genetik berlainan elak anak cacat

Nurul menambah yang penyatuan badak air itu memerlukan dua genetik berlainan supaya anak yang dilahirkan dapat bertahan lama dan tidak cacat.

“Jiwang dan Juwita mempunyai surat beranak dari Afrika tetapi keluarga berlainan. Kebanyakan badak air di negara ini adalah genetik yang sama, kalau disatukan kemungkinan besar bayi mereka tidak boleh bertahan lama atau cacat, maka itu sebabnya membawa masuk badak air jantan dan betina berlainan genetik dari luar negara,” kata Nurul.

Iklan

Spesies paling ganas

Aspek keselamatan dititikberatkan kerana badak dikenali sebagai antara haiwan paling ganas di Afrika.

Kata Nurul, ketika Jiwang masuk ke kandang, seramai lima hingga enam orang kakitangan diperlukan untuk menyembur air serta menarik perhatiannya supaya pasangan itu tidak bergaduh hingga boleh membahayakan keselamatan.

Sumber: Lost World of Tambun