BERMAIN bunga api dan mercun jadi kebiasaan yang memeriahkan musim perayaan ini.

Kalau setakat bunga api jenis Pop-Pop dan Happy Boom, tiada masalah kerana ia tidak mengandungi bahan bakar yang boleh membahayakan keselamatan.

Kerajaan Malaysia menerusi Kementerian Dalam Negeri melarang sebarang bentuk pembakaran bahan letupan jenis mercun atau bunga api kecuali dua jenis itu.

Walau bagaimanapun, pengecualian diberi kepada pembakaran bahan piroteknik pada majlis-majlis rasmi kerajaan serta konsert-konsert tertentu serta majlis-majlis yang mendapat kebenaran khas.

Kelulusan merupakan keputusan dasar dan permohonan adalah tertakluk kepada arahan-arahan agensi lain seperti Polis Diraja Malaysia PDRM (security), Jabatan Bomba dan Peyelamat (safety) dan Jabatan Penerbangan Awam (bagi laluan udara) semasa pembakaran dilakukan.

Gambar hiasan

Bagaimanapun khabarnya para pembekal mercun dan bunga api mendakwa mereka memiliki permit bagi menjual barangan itu sempena Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Sebenarnya Bibir Merah sudah lama tertanya-tanya kerana lambakan penjual mercun di bazar raya dan bazar Ramadan.

Tidak sekadar itu, malah ada yg menjualnya dalam talian menerusi laman sosial Facebook, Instagram dan Twitter. Adakah semuanya memiliki lesen atau permint sah dikeluarkan Kementerian Dalam Negeri dan PDRM?

Baru-baru ini Bibir Merah betul-betul rasa hiba apabila mercun menjadi senjata perbuatan khianat hingga kediaman dan persiapan hari raya sembilan keluarga musnah begitu sahaja.

Kebakaran yang berlaku kejadian Berek 12, Kota Bharu, Kelantan mengakibatkan sembilan buah rumah dijilat api gara-gara mercun bola dipercayai dibaling ke atas bumbung.

Baca juga: Khianat baling mercun bola atas bumbung, 9 kediaman musnah dalam kebakaran

Lima rumah sudah hangus 100 peratus manakala empat lagi rumah hangus sebanyak 20 peratus. Syukur tiada kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan.

Mungkin ada yang menganggap mercun menyeronokkan namun hakikatnya  perlu menanggung bermacam risiko termasuk kecederaan seperti putus jari dan  melecur. Pada hemat Bibir Merah kanak-kanak sepatutnya tidak dibiarkan bermain mercun.

Sepatutnya ketibaan Syawal disambut dengan kegembiraan dan bukannya kesedihan yang menyeret kepada penyesalan seumur hidup kerana mengalami kecederaan kekal!

Mercun lebih berbahaya jika ia dikendalikan tanpa mengikut garis panduan yang ditetapkan.

Iklan

Jika ada yang masih ingat 12 tahun lalu seorang kanak-kanak lelaki maut, manakala dua lagi cedera parah apabila sebuah rumah yang dipercayai dijadikan stor simpanan bunga api dan mercun meletup di Kuala Terengganu.

Kanak-kanak berusia enam tahun dikatakan tercampak setinggi 15 meter ke atas pokok yang berhampiran dengan rumah berkenaan akibat letupan kuat kira-kira pukul 12.30 tengahari.

Gambar hiasan

Manakala dua lagi mangsa mengalami kecederaan parah. Kaki seorang lelaki hampir hancur, manakala seorang lagi mangsa juga mengalami cedera teruk bahagian kaki.

Letupan besar yang meragut nyawa itu dipercayai berlaku susulan perbuatan dua orang lelaki sedang menyediakan mercun bagi memeriahkan malam raya Aidilfitri. Semasa kejadian mereka didakwa sedang mengisi belerang ke dalam sebuah tong gas peti sejuk.

 

Mereka juga ketika itu dikatakan merancang untuk membuat mercun yang mampu mengeluarkan bunyi yang kuat dengan memasukkan belerang ke dalam satu bekas.

Iklan

Mercun-mercun yang dibuat sendiri itu mahu diletupkan pada malam raya. Malah menurut seorang penduduk, kedua-dua lelaki berkenaan mengharapkan letupan itu boleh didengari sehingga beberapa kilometer.

Adakah wujud keseronokan mendengar bunyi mercun yang kuat? Entahlah, Bibir Merah tidak dapat ‘feel’ bermain mercun kecuali bunga api bersama kanak-kanak.

SiBibirMerah: Daripada berhabis duit beli mercun, lebih baik simpan zaman ekonomi meleset ini.

Jangan lupa follow kami di Instagram dan lawati portal SinarPlus

Dapatkan info daripada SinarPlus! Join grup Telegram kami DI SINI