Sinar Harian pilih 10 Wanita Inspirasi Malaysia
Kumpulan Sinar Harian memilih 10 Wanita Inspirasi Malaysia yang disiarkan dalam sisipan khas bersempena sambutan Hari Wanita Sedunia tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Sinar Karangkraf, Farah Hussamuddin berkata, pemilihan 10 figura wanita itu mewakili kaum Hawa dari pelbagai bidang bagi meraikan kekuatan, ketabahan dan pencapaian wanita Malaysia.
Katanya, lebih penting lagi kisah kehebatan wanita ini didendangkan dalam semua platform Sinar Harian agar menjadi inspirasi dan pembakar semangat golongan wanita terutamanya anak-anak muda yang mahu mengikut jejak tokoh-tokoh ini.
"Pemerkasaan wanita merangkumi pelbagai dimensi, bermula daripada peluang ekonomi dan pendidikan kepada kemasukan sosial dan politik.
"Apabila wanita berpendidikan, mereka lebih bersedia untuk mengharungi cabaran hidup, mengejar peluang kerjaya dan memperjuangkan hak mereka.
"Inilah mesej yang kami di Sinar Harian ingin tekankan dalam pelaporan kami mengenai pemerkasaan wanita seiring dengan tema Hari Wanita Sedunia tahun ini 'Wanita Dijulang Negara Gemilang'," kata Farah.
Tambah beliau, apabila wanita diperkasakan ia menjadi pemangkin kepada perubahan positif, memacu inovasi, memupuk perpaduan sosial dan membina komuniti yang lebih makmur untuk generasi akan datang.
SEMANGAT HARI WANITA
Sementara itu, Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Zamri Rambli berkata, pemilihan 10 ikon ini mula disenarai pendek oleh Sinar Harian bersama pasukan Sinar Plus, Sinar Daily, Sinar Bestari dan Sinar Islam Plus sejak Februari lalu.
Katanya, 10 wanita yang dipilih itu ialah Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Syukri daripada bidang Politik dan Kepimpinan; Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Sasikala Devi Subramaniam (Pasukan Beruniform) dan Pro-Canselor Kolej Universiti Antarabangsa MAIWP, Prof Datuk Dr Asma (Pendidikan, Sains dan Teknologi).
Presiden OKU Sentral, Datuk Dr Ras Adiba Radzi (Aktivis dan Pertubuhan Bukan Kerajaan) antara tersenarai 10 Wanita Inspirasi Malaysia Sinar Harian.
Selain itu, turut tersenarai ialah pengasas Christy Ng Shoes, Christy Ng (Usahawan); bekas Senator dan Presiden OKU Sentral, Datuk Dr Ras Adiba Radzi (Aktivis dan Pertubuhan Bukan Kerajaan) serta Johan Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-62, Sofizah Mousin (Agama).
Tidak ketinggalan atlet gimnastik, Farah Ann Abdul Hadi (Sukan), Ketua Pegawai Eksekutif Islamik Bank Digital, Raja Teh Maimunah Raja Abdul Aziz (Perbankan); Pakar Kehamilan Berisiko Tinggi di Hospital Pakar Damansara 2, Prof Dr Imelda Balchin (Perubatan dan Pempengaruh Kesihatan) dan Pengarah Respected Citizen, Nur Hawa Zainal Abidin (Pelakon dan Usahawan).
"Kami di Sinar Harian menghargai kerjasama setiap ikon dalam melapangkan masa untuk sesi temubual dan fotografi.
"Semoga sisipan khas 10 Wanita Inspirasi Malaysia ini membawa semangat hari wanita dan untuk kita bersama-sama berusaha mencipta dunia yang lebih inklusif dan saksama untuk semua.
"Tidak ketinggalan, kesempatan ini saya ambil untuk mengucapkan terima kasih kepada semua editor dan karyawan Sinar Harian dari pelbagai unit baik grafik, foto dan sosial media yang bersungguh-sungguh dalam menjayakan edisi khas ini," katanya.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, Threads, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang!
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang