Luka kecil pemulihan cepat, teknologi MICS ubah persepsi pembedahan jantung & beri harapan baharu buat pesakit

No Image Caption
A
A
A

PENYAKIT Penyakit jantung masih menjadi antara punca utama kematian di Malaysia, terutama disebabkan saluran darah tersumbat atau gangguan injap jantung. Statistik menunjukkan lelaki lebih terdedah, namun wanita tidak terkecuali. Faktor risiko utama termasuk merokok, kurang bersenam, pemakanan tidak seimbang, kolesterol tinggi, diabetes, dan tekanan darah tinggi.

Kombinasi faktor ini menyebabkan salur darah menyempit dan akhirnya tersumbat, meningkatkan risiko serangan jantung.

Pakar Bedah kardiotorasik, Profesor Dr Shahrul Amry Hashim ketika ditemu bual SinarPlus baru-baru ini menjelaskan, serangan jantung juga boleh berlaku secara tiba-tiba, walaupun pada individu aktif.

“Ada yang mengalami penyumbatan saluran darah tanpa disedari dan ada juga yang mengalami masalah genetik menyebabkan irama jantung tidak normal,” katanya.

Sejak akhir 1960-an, pembedahan jantung tradisional memerlukan pemotongan tulang dada untuk memberikan akses kepada jantung.

Prosedur ini menyebabkan luka besar, tempoh pemulihan yang panjang, dan kesakitan yang tinggi – sama seperti patah tulang yang memerlukan masa berbulan-bulan untuk pulih sepenuhnya.

Pada awal tahun 2000-an, ramai pakar jantung menyedari kaedah ini kurang sesuai untuk pesakit moden yang mahukan pemulihan cepat dan trauma minimum.

Kaedah Minimally Invasive Cardiac Surgery (MICS) kemudian diperkenalkan.

Teknik itu membolehkan pembedahan dilakukan melalui bahagian tepi dada di antara tulang rusuk, tanpa memotong tulang dada.

Hanya kulit dan otot yang dibedah, menghasilkan luka sekitar 4–6 sentimeter berbanding 30 sentimeter pada pembedahan tradisional.

Akibatnya, pemulihan pesakit menjadi jauh lebih cepat, biasanya dalam 2–3 minggu, dan mereka boleh menjalani fisioterapi serta rehabilitasi dengan selamat.

No Image Caption

“Dengan luka yang kecil, pesakit tidak perlu menunggu berbulan-bulan sebelum kembali aktif.

"Mereka boleh mula melakukan aktiviti ringan dalam beberapa minggu sahaja dan hampir semua pesakit pulih sepenuhnya dalam masa sebulan,” jelas Dr Shahrul.

Sebagai pengiktirafan terhadap kepimpinan dan kecemerlangan pasukan Dr. Shahrul dengan pencapaian 200 kes pembedahan MICS yang telah dilakukannya, satu majlis diadakan baru-baru ini di Hospital Pakar Damansara 2 (DSH2). Turut hadir barisan kepimpinan tertinggi KPJ Healthcare dan pengurusan hospital.

DSH2 baru-baru ini juga telah dinobatkan sebagai penerima anugerah bagi kategori ‘Pembedahan Jantung Invasif Minimum Terbaik Asia Pasifik’ pada Anugerah Global Health Asia Pasifik 2025.

MICS bukan sekadar prosedur kecil, ia memerlukan pengalaman tinggi, pemilihan pesakit yang teliti, dan kerjasama pasukan pelbagai disiplin.

“Tiada kompromi dalam keselamatan. Jika ada keraguan semasa prosedur, kaedah tradisional masih boleh digunakan.

"Tetapi pengalaman menunjukkan kebanyakan kes dapat dilakukan secara invasif minimum dengan selamat,” jelas beliau.

Pengalaman juga memainkan peranan penting. Pusat dengan jumlah kes yang tinggi membolehkan pasukan menjadi lebih mahir, meningkatkan keberkesanan dan keselamatan prosedur.

Pakar tersebut turut menekankan pembedahan ini bukan eksperimen, tetapi kaedah yang berkembang dengan sokongan teknologi moden dan protokol klinikal standard.

No Image Caption

Trauma minimum

Antara prosedur utama miscs adalah pintasan arteri koronari( CABG) untuk saluran jantung tersumbat dan pembedahan injap seperti injap mitral dan injap aortic.

Prosedur berkenaan sama efektif dengan pembedahan terbuka, tetapi dengan trauma yang lebih minimum.

Selepas pembedahan, pesakit biasanya tinggal di hospital selama 4–5 hari sebelum dibenarkan pulang, kemudian diberi panduan senaman dan aktiviti pemulihan.

Diminta memberi penjelasan yang lebih mudah difahami, Dr Shahrul mengibaratkan pembedahan bypass seperti membina lebuh raya baharu.

“Saluran lama dibiarkan, tetapi laluan baru dibuka supaya aliran darah kembali lancar.

"Sama seperti lebuh raya, laluan ini juga perlu dijaga melalui gaya hidup sihat agar tidak tersumbat semula," ungkapnya lagi.

Selain rawatan pembedahan, pengurusan gaya hidup amat penting.

Justeru, individu berkenaan disarankan untuk berhenti merokok, bersenam secara berkala, mengawal gula dan tekanan darah serta mengamalkan pemakanan seimbang.

Pengurusan stres juga membantu mengurangkan risiko serangan jantung.

Beliau juga menekankan kepentingan pengesanan awal.

"Ramai pesakit mengabaikan simptom seperti sakit dada, sesak nafas, dan cepat penat. Pemeriksaan awal boleh menyelamatkan nyawa.

"Ini bagi mereka yang mempunyai sejarah keluarga dengan penyakit jantung, pemeriksaan berkala adalah langkah paling bijak,” katanya.

Serangan jantung semasa aktiviti riadah juga bukan perkara asing. Mereka yang berumur 35–50 tahun mungkin mengalami penyumbatan saluran darah yang tidak disedari.

Sementara golongan muda di bawah 30 tahun kadangkala mengalami masalah jantung kongenital atau irama jantung abnormal.

Kedua-duanya memerlukan perhatian segera untuk mencegah komplikasi serius.

Harapan Baharu

Dalam era moden, pembedahan jantung tidak lagi menjadi mimpi ngeri.

Dengan pendekatan invasif minimum, pesakit dapat mengalami kesakitan yang lebih rendah, masa pemulihan yang singkat, dan peluang kembali ke kehidupan harian dengan lebih cepat.

No Image Caption

Kepakaran pakar, pengalaman pasukan, dan sokongan teknologi membolehkan prosedur kompleks dijalankan dengan selamat.

Prof Dr. Shahrul menegaskan, kunci kejayaan adalah pengalaman pasukan dan pemilihan pesakit yang tepat.

“Pesakit harus memilih rawatan berdasarkan pengalaman dan kepakaran pasukan perubatan, bukan hanya lokasi atau populariti.

"Dengan pendekatan ini, mereka boleh menjalani pembedahan jantung dengan lebih yakin dan selamat," ujarnya lagi.

Dengan perkembangan teknik MICS dan kesedaran terhadap pengesanan awal serta gaya hidup sihat, pesakit jantung kini mempunyai harapan baharu untuk menjalani hidup yang lebih panjang dan berkualiti.

Pembedahan bukan lagi satu mimpi ngeri, tetapi langkah penting dalam perjalanan pemulihan dan kehidupan yang lebih sihat.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang