KENAIKAN harga barang keperluan asas seperti minyak masak, ayam dan telur menimbulkan kebimbangan terhadap peningkatan ketara barangan sekunder yang menggunakan ketiga-tiga bahan berkenaan, seterusnya menyebabkan poket pengguna semakin menipis.

Langkah kerajaan meningkatkan kadar dasar semalaman (OPR) kepada 2.25 peratus pada Julai lalu, menyebabkan komitmen hutang kembali meningkat sekali gus memberi kesan kepada perbelanjaan pengguna.

Dalam keadaan inflasi makanan dijangka terus meningkat sedangkan pendapatan kekal pada tahap semasa, langkah proaktif yang perlu diambil pengguna ialah menyusun dan menganalisis perbelanjaan semasa dengan membuat bajet.

Walaupun ramai memandang remeh, bajet sebenarnya merupakan satu alat paling berkesan untuk membantu pengguna mengawal perbelanjaan supaya tidak melebihi pendapatan.

Perbelanjaan melebihi pendapatan terutamanya yang dibiayai menerusi hutang seperti kad kredit, adalah musuh dalam selimut yang boleh menjerumuskan pengguna ke dalam beban kewangan berpanjangan.

Untuk mengelak daripada terus mengumpul hutang, pengguna perlu berbelanja berdasarkan kemampuan atau lebih baik lagi berbelanja di bawah kemampuan supaya mereka mempunyai sumber kewangan untuk dilaburkan.

Wang yang dilaburkan ini kelak boleh menjadi sumber kewangan apabila memerlukan seperti untuk membiayai keperluan perubatan, membaiki kenderaan dan sebagainya supaya tidak perlu menambah hutang.

Ketika ramai antara kita yang hidup dalam keadaan cukup-cukup makan, musibah atau bencana luar jangka pastinya menambahkan lagi beban kewangan. Justeru, sedikit wang perlu diketepikan setiap bulan untuk pelaburan.

Tidak perlu melabur dalam jumlah yang besar, sebaliknya cukup sekadar RM30 setiap bulan secara konsisten untuk membina tabungan kecemasan.

Iklan

Apabila membuat bajet, tetapkan sejumlah wang untuk pelaburan sebelum ditolak bagi tujuan perbelanjaan dan komitmen hutang. Baki wang selepas ditolak dengan pelaburan, komitmen hutang dan perbelanjaan untuk keperluan, barulah anda mempunyai wang untuk kehendak.

Apabila berbelanja untuk keperluan, pastikan barangan penting untuk memasak seperti beras, minyak masak, telur, garam, gula dan barangan kering lain dibeli terlebih dahulu sebagai bekalan sepanjang bulan.

Ini dapat mengelak kita daripada berdepan kesesakan kewangan melampau sebelum tiba hujung bulan memandangkan kita sudah mempunyai sumber makanan untuk diri sendiri dan keluarga.

Ketika berdepan inflasi yang kian meningkat ketika ini, mahu atau tidak pengguna terpaksa berkorban dengan mengetepikan kehendak seperti berbelanja untuk barangan berjenama, membeli kopi, kek dan sebagainya.

Iklan

Semua ini dilihat sebagai perbelanjaan kecil tetapi sebenarnya menjadi antara punca kita tidak mempunyai cukup wang untuk melabur atau meneruskan kelangsungan hidup tanpa bergantung kepada hutang.

Sebagaimana yang sering diingatkan penasihat kewangan, kapal kadangkala karam bukan disebabkan ribut ataupun taufan tetapi kebocoran kecil secara berterusan yang tidak disedari dan tidak dibetulkan.

Jadi, amat penting untuk menyusun semula perbelanjaan untuk memastikan kedudukan kewangan kita berada dalam keadaan selesa walaupun pada persekitaran yang mendesak ketika ini.