SYARIKAT barangan kemas, Habib Jewels dan syarikat Les’Copaque telah melancarkan syiling emas edisi terhad, yang tertera dengan karekter animasi terkenal Malaysia, Upin dan Ipin, sempena kempen Habib’s Merdeka Campaign #SokongLokal.

Pengerusi Eksekutif Habib Group, Datuk Seri Meer Habib berkata, syiling emas yang ulung itu adalah sebahagian daripada inisiatif Habib #SokongLokal yang disasar memacu perniagaan tempatan di samping meningkatkan kemahiran tempatan dalam tempoh suasana persekitaran yang mencabar ini.

“Membeli barangan tempatan bukan sahaja akan menyelamatkan banyak pekerjaan dan perniagaan, tapi juga akan mendorong pertumbuhan ekonomi negara dan diharapkan menerusi kempen ini, pengguna akan mula membeli lebih banyak barangan tempatan,” katanya di majlis pelancaran pameran Merdeka Jewelry Exhibition.

Beliau berkata semasa syiling emas itu membangkitkan kenangan zaman kanak-kanak kepada orang dewasa, ia juga boleh menjadi motivasi yang ideal bagi generasi muda untuk mempelajari dan menyesuaikan diri dengan langkah berjimat cermat.

“Emas merupakan satu bentuk pelaburan yang amat baik kerana harganya meningkat dari semasa ke semasa, malah harganya telah menyaksikan kenaikan yang luar biasa lebih dari 30 peratus tahun ini,” katanya.

“Dengan kedua-dua watak animasi itu menghiasi syiling emas Habib, syiling itu bukan sahaja menjadi barang yang berharga, tapi turut menjadi bahan koleksi yang amat bernilai,” katanya.

Iklan

Sementara itu Pengarah Urusan Les’ Copaque Production, Burhanuddin Md Radzi berkata, mereka amat bangga dengan kolaboratif hari ini dan melihat pandemik yang menghantui dunia ketika ini bagaikan satu “rahmat yang terselindung” kepada jenama tempatan.

Iklan

“Malaysia memiliki banyak jenama yang baik, dan dengan kemunculan pandemik, rakyat kini benar-benar menyokong jenama tempatan,” katanya.

Syiling emas eksklusif Upin dan Ipin seberat 0.2 gram kini boleh dibeli dengan harga RM118 tiap satu.