TAHI lalat telah menjadi perkara biasa untuk muncul pada badan kita.

Ia boleh tumbuh pada muka, lengan, kaki dan sebagainya.

Namun demikian, mungkin ada di antara kita yang tertanya-tanya mengenai kaedah kewujudannya tahi lalat bukan?

Jadi, hari ini SinarPlus kongsikan beberapa fakta menarik mengenai tahi lalat kepada semua pembaca.

Merujuk laman web medlineplus.gov, bayi yang baru lahir mungkin mempunyai satu atau lebih tanda, bintik-bintik ataupun kesan lebam di atas kulit.

“Ia boleh dikesan sejurus selepas lahir atau selepas beberapa bulan.

“Tanda tersebut sama ada tanda lahir ataupun tahi lalat, yang mana ia sangat normal dalam kalangan bayi,” beritahu mereka.

Dalam pada itu, SinarPlus ingin jelaskan beza antara kemunculan tanda lahir dan tahi lalat.

Tanda lahir muncul pada waktu lahir atau berminggu selepas kelahiran berlaku disebabkan saluran darah ataupun sel pigmen tidak terbentuk dengan betul.

Sementara, tahi lalat pula boleh muncul pada waktu lahir atau semasa remaja.

Menurut laman web kesihatan healthline.com, kebiasaannya orang dewasa mempunyai 10 hingga 40 tahi lalat pada seluruh badan.

Iklan

“Sebahagiannya boleh berubah keadaannya ataupun menjadi pudar,” tambah laman web berkenaan.

Sebenarnya, tahi lalat adalah sejenis ketumbuhan pada kulit yang selalu muncul dalam saiz kecil dan bintik-bintik gelap.

“Tahi lalat sebenarnya terbentuk apabila sel kulit tumbuh dalam keadaan kelompok. (Sel) tersebut dipanggil melanocytes yang mana ia membantu menghasilkan melanin,” jelas laman web itu.

Ingat, walaupun kemunculan tahi lalat adalah kesan daripada sejenis ketumbuhan sel seperti tumor, kebanyakannya adalah bukan kanser.

Iklan

Seperkara yang wajib anda ketahui, tahi lalat cenderung muncul pada bahagian badan yang selalu terdedah pada sinaran matahari.

“Apabila seseorang selalu terdedah dengan cahaya matahari, ia boleh meningkatkan jumlah tahi lalat pada permukaan kulit.

“Bagaimanapun, tahi lalat juga selalu didapati pada bahagian yang tidak terdedah pada sinaran ultra ungu (UV), mungkin disebabkan oleh hormon ataupun proses biological badan,” terang mereka.

Pun demikian, ia normal jika tahi lalat yang baru muncul sepanjang perubahan hormon seperti ketika remaja dan sepanjang tempoh mengandung.

Semoga perkongsian di atas memberi informasi baharu kepada anda semua.