GARA-GARA Whatsapp membuat kemaskini di ruang status pagi ini, heboh orang ramai bercerita mengenai ia adalah tindakan scammer yang cuba menggodam dan mengambil alih akaun WhatsApp pengguna.

Berita mengenai perkara tersebut kini dikongsikan meluas di grup WhatsApp malahan juga turut tersebar sehingga tular di sosial media seperti Facebook dan juga Twitter.

Sabar dahulu bawa bertenang!

Menurut WhatsApp, kemunculan status update mereka itu adalah bertujuan supaya selepas ini segala kemaskini atau feature terbaharu mereka akan dimuat naik di status terlebih dahulu untuk makluman pengguna.

Melalui status update, Whatsapp memberi jaminan yang keselamatan data dan privasi menjadi komitmen utama mereka.

 

Perkara itu dibimbangi orang ramai kerana kecoh pada awal tahun lalu, Whatsapp melalui kemaskini Terma Privasi menyatakan data dari Whastapp akan disalurkan ke Facebook.

Tambahan pula ada pihak yang tidak bertanggungjawab juga menyebarkan berita palsu kononnya sebuah stesen televisyen telah menyiarkan berita mengenai kemaskini terbaharu WhatsApp tersebut adalah sindiket scammer.

Selidik dahulu sebelum menyebarkan maklumat kepada umum kerana berita yang didakwa disiarkan pagi tadi itu sebenarnya adalah berita minggu lepas.

Iklan

Kenapa perlu nak sebarkan berita palsu sehingga menimbulkan panik dalam kalangan orang ramai?

Tahukah perbuatan itu juga boleh didakwa dan dikenakan tindakan jika sabit kesalahan? Jadilah pengguna bijak dan hentikan penyebaran berita plasu.

Konsepnya mudah, tak pasti jangan kongsi!

Iklan

Namun, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) juga pernah mengeluarkan kenyataan pada 21 Januari lalu yang menasihatkan orang ramai agar berwaspada dengan kewujudan taktik penipuan yang bertujuan mengambil alih akaun WhatsApp pengguna.

MCMC dalam satu kenyataan memaklumkan, taktik berkenaan menggunakan pelbagai helah bagi memperdaya pengguna supaya menyerahkan kod pengesahan enam digit yang diterima daripada pihak WhatsApp.

“Kod pengesahan tersebut amnya diterima oleh pengguna untuk tujuan pengesahan apabila berlaku cubaan pertukaran nombor telefon yang dikaitkan dengan sesuatu akaun WhatsApp.

“Pengguna yang terpedaya menyerahkan kod pengesahan tersebut boleh menyebabkan akaun WhatsApp mereka diambil alih oleh scammer,” katanya.

Justeru, MCMC menyeru agar pengguna berwaspada terhadap permintaan kod pengesahan enam digit WhatsApp daripada mesej orang yang dikenali seperti rakan atau ahli keluarga atau panggilan orang yang tidak dikenali atau pihak yang mengaku sebagai kakitangan WhatsApp serta pihak lain termasuklah pihak berkuasa.

“Para pengguna diingatkan agar tidak sama sekali menyerahkan kod pengesahan enam digit WhatsApp kepada mana-mana pihak,” katanya.