DALAM usaha bagi memudahkan pengguna dan mengurangkan kesesakan pelanggan, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bakal memperkenalkan sistem MyQ dalam masa terdekat.

Melalui sistem baharu tersebut, pengguna boleh berurusan dan tidak menghabiskan masa yang lama di kaunter khidmat pelanggan JPJ.

Usaha itu dilakukan oleh kerana kebanyakan kaunter JPJ berdepan kesesakan yang tinggi.

Tambahan pula orang ramai terpaksa beratur panjang bagi mendapatkan perkhidmatan sehingga ke jalan raya kerana mematuhi penjarakan sosial di semua kaunter.

Situasi itu pastinya mampu menyebabkan ketidakselesaan dan isu keselamatan kesihatan apabila bertumpu beramai-ramai di satu tempat.

Memetik laporan akhbar tempatan, Ketua Pengarah JPJ, Datuk Zailani Hashim berkata, fungsi sistem secara dalam talian terbabit termasuk memberi kemudahan kepada pelanggan untuk mendapatkan nombor giliran.

Pengguna tidak lagi perlu beratur untuk mengambil nombor giliran dan akan dipandu arah oleh sistem berkenaan untuk tindakan susulan.

Iklan

Pelaksanaan sistem itu selari dengan usaha ke arah pendigitalan dan amalan norma baharu mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

JPJ mengatakan projek rintis MyQ akan diperkenalkan dibeberapa cawangan JPJ terpilih pada bulan Januari 2021 ini.

Iklan

Namun, orang ramai juga diminta mengatur jadual bagi membuat sebarang urusan di kaunter JPJ bagi mengelakkan sebarang perkara yang tidak diingini terutama penyebaran jangkitan penyakit seperti Covid-19.

Pendekatan yang boleh kita ambil adalah dengan menggunakan perkhidmatan sistem atas talian e (MyEG) lebih digalakkan berbanding beratur di kaunter JPJ yang sesak.