SELARI dengan seranan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk kekal di dalam rumah bagi mengelakkan penularan Covid-19, pastinya ramai yang risau jika bil elektrik naik melambung tinggi.

Oleh yang demikin, Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) yang diumumkan Muhyiddin juga telah mengambil kira beban pengguna yang dijangka menanggung bil elektrik lebih tinggi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Kerajaan juga telah memperuntukkan RM500 juta bagi pelaksanaan diskaun bil elektrik secara berperingkat selama enam bulan bermula bulan ini.

Diskaun bil elektrik akan diberikan kepada pengguna secara berperingkat antara 15 hingga 50 peratus.

Dilaporkan seramai 3.3 juta pengguna di seluruh negara akan menerima manfaat menerusi inisiatif terbabit.

Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam satu kenyataan pula memaklumkan, walaupun kerajaan melaksanakan diskaun berperingkat ini, pengguna boleh melaksana beberapa panduan bagi mengimbangi keperluan menggunakan peralatan elektrik dengan selesa tanpa pembaziran.

Sinar Plus percaya langkah itu perlu kerana pembaziran adalah satu amalan yang kurang elok walaupun memang akan dijangka berlaku peningkatan penggunaan elektrik sepanjang tempoh PKP berkuat kuasa

Tapi, tak salah juga untuk kita berjimat!

Antara panduan bagi mengimbangi keperluan menggunakan barangan elektril yang diberikan oleh pihak TNB bagi mengelakkan pembaziran penggunaan elektrik adalah seperti berikut :

1. Pastikan semua pintu, tingkap dan lubang edaran udara tertutup rapi ketika menggunakan pendingin hawa supaya hawa sejuk tidak keluar dari bilik.

2. Gunakan kipas bagi membantu menyejukkan hawa bilik agar suhu pendingin hawa dapat dilaraskan lebih tinggi (contohnya, antara 24 ke 26 darjah Celcius) bagi menjimatkan tenaga.

Iklan

3. Bersihkan penapis pendingin hawa bagi memaksimumkan proses penyejukan. Penapis yang kotor menghalang aliran udara dan mengurangkan kecekapan pendingin hawa.

4. Elak mencuci pakaian menggunakan air panas, melainkan perlu dan menggunakan mesin basuh dengan muatan penuh.

5. Penguna juga boleh meminimumkan penggunaan pengering pakaian dengan mengambil kesempatan cuaca panas untuk mengeringkan pakaian secara semulajadi.

6. Menanggalkan palam peralatan elektrik apabila tidak digunakan serta tidak membiarkan peralatan elektrik seperti kipas dibiarkan terpasang di dalam bilik yang kosong.

Iklan

7. Sekiranya mandi menggunakan alat pemanas air, kurangkan tempoh mandian.

TNB juga menjangkakan, dalam tempoh PKP ini, penggunaan elektrik di kediaman bakal meningkat kerana isi rumah menggunakan elektrik yang lebih kerap atau lebih lama dari kebiasaan.

Jadi, sama-samalah kita berjimat. Jadilah pengguna yang bijak! #stayathome