KITA semua mahu disukai, bukan? Lebih-lebih lagi di tempat kerja atau di lubuk lokasi kita mencari rezeki, pastinya hal itu penting supaya kita dihargai dan dihormati.

Dalam hal itu, rasa hormat orang lain adalah sangat penting dalam perkembangan kerjaya kita. Dengan itu baharulah orang yang kedudukannya lebih tinggi mahu mempertimbangkan idea anda.

Sekiranya mereka sedang memilih seseorang untuk berpartisipasi dalam seseuatu projek atau ya… ketika mereka memikirkan siapa yang sebenarnya layak mendapat kenaikan pangkat, pastilah memilih seseorang yang disukai.

Bagaimanapun apakah perkara-perkara yang boleh dilakukan seseorang supaya diri kita disukai malah mungkin juga disayangi di tempat kerja?

Laman web pencarian pekerjaan dan syarikat antarabangsa, themuse.com berkongsi, beberapa cara di bawah boleh membantu memastikan rakan sekerja menyukai dan menghormati anda.

Tidak mustahil anda akan dilihat sebagai pemimpin dalam masa yang singkat. Berikut antara 10 kaedah yang boleh dilakukan:

1. Siapkan pekerjaan anda dan lakukannya dengan cara terbaik

Cara paling asas untuk mendapatkan penghormatan? Jangan menghabiskan masa anda dengan sentiasa berasa bimbang untuk mendapatkan penghormatan. Sebaliknya habiskan masa itu dengan melakukan pekerjaan anda yang sebenar dengan baik.

Berikan reputasi yang benar-benar baik terhadap apa yang dilakukan. Sebagai pakar kerjaya themuse.com, Jennifer Winter menerangkan:

“Sukar untuk mengabaikan hakikat, apabila anda berusaha menghormati rakan sekerja anda, salah satu perkara terbaik yang boleh anda lakukan ialah menunjukkan anda mempunyai ‘persembahan’ yang betul.”

2. Jangan melengahkan masa

Bersama barisan kumpulan bekerja yang sama, dapatkan reputasi yang sangat boleh dipercayai.

Ini bermakna, misalnya anda telah membuat sebarang perjanjian untuk menyiapkan apa sahaja tugasan yang diberikan oleh bos misalnya, pastikan pada tarikh yang telah ditetapkan, projek berkenaan berjaya disudahkan tanpa melengah-lengahkan masa serta memberi sebarang alasan.

Foto: Unsplash

3. Berdandan

Jangan tidak percaya, pakaian dan ‘dandanan’ anda ke tempat kerja juga memainkan peranan. Pastinya anda dapat membaca pakaian yang akan anda ‘peragakan’ ke tempat kerja pada setiap hari, bukan?

Walaupun, ya, anda harus berpakaian sedikit lebih baik daripada apa yang sudah ada dalam fikiran anda itu. Jangan pula berpakaian dengan fesyen yang begitu menonjol hingga anda sendiri kelihatan tidak selesa.

Lebih terlihat ganjil jika anda berpakaian dengan tidak sesuai selari budaya. Jadi jika syarikat anda mempunyai kod pakaian kasual, eloklah patuhinya. Seeloknya pilihlah pakaian menyerap peluh dan tidak menyebabkan gejala itu juga.

Jika anda sendiri tidak selesa dengan pakaian dan cara berdandan pilihan diri sendiri, bagaimana orang lain hendak selesa dengan anda?

4. Hormati semua orang tanpa memilih bulu

Untuk mendapatkan penghormatan, anda perlu ‘memberi’ atau bersedekah dan bukan hanya kepada orang yang lebih tinggi pangkatnya.

Tetapi jika anda ‘pilih bulu’ dengan hanya memberikan sesuatu atau hadiah yang bermakna kepada bos misalnya dengan tujuan tertentu, pada akhirnya anda sendiri telah membuka pekung di dada.

Perbuatan tersebut dapat memperlihatkan siapa sebenarnya diri anda.

Oh ya, jika anda ingin memberi tetapi tidak berharta, ingatlah pemberian bukan hanya dengan wang dan kebendaan. Berikan senyuman semanis gula, atau setidak-tidaknya menyumbang kudrat yang ada misalnya membantu makcik tukang sapu untuk mengangkat sampah juga antara pemberian berharga.

5. Berkawan dengan orang yang dihormati, disukai

Berhubung dan berkawanlah dengan orang lain dalam organisasi anda yang dihormati dan disukai. Kita bukan sahaja bercakap mengenai sesiapa yang mempunyai reputasi yang hebat di sekitar pejabat.

Barangkali pengawal keselamatan atau kerani pejabat yang dihormati juga boleh menjadi kawan kita.

Kata orang, berkawan dengan penjual minyak wangi, sudah tentulah berbau harum. Kalau sebaliknya… fikir-fikirkanlah sendiri!

Iklan

6. Menjadi ‘penyambung’

Anda mungkin mengenali seseorang yang mungkin dapat membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi rakan sekerja anda. Apa kata perkenalkannya kepada rakan yang mempunyai masalah tersebut.

Siapa tahu pertolongan anda itu menyebabkan prestasi kerja rakan bermasalah tadi meningkat. Melakukan hal itu menunjukkan bahawa anda mempunyai rangkaian yang mengagumkan. Itu juga menunjukkan bahawa anda bersedia berkongsi untuk membantu orang lain.

7. Jemput rakan bersama

Sekiranya anda mendapat jemputan ke acara menarik tertentu dan mempunyai tiket yang lebih, apa kata selepas penat satu hari bekerja, pertimbangkan untuk mengundang bersama seseorang dari kerja sekerja untuk sama menikmatinya.

Dia juga akan teruja apabila anda memikirkan tentang dirinya. Anda juga akan mendapat peluang untuk mengenali salah seorang rakan sekerja anda dengan lebih baik.

Foto: Unsplash

8. Kurangkan penggunaan kata “I”

Kata Jennifer, kajian telah menunjukkan bahawa orang sering menggunakan perkataan “I” lebih kerap apabila berkomunikasi dengan orang yang mereka rasa lebih berkuasa daripadanya.

Iklan

Mahu dilihat tidak meninggi diri? Pantau penggunaan “I.” Orang yang berbicara akan melihat anda lebih hebat dan menunduk diri tanpa mengetahui sebabnya.

9. Minta bantuan

Walaupun ramai orang mungkin berfikir meminta bantuan barangkali menunjukkan anda tidak tahu apa-apa, tetapi kaedah itu boleh juga membantu.

Jika ia dilakukan dengan cara yang betul, ia juga menunjukkan anda mengambil pendapat orang di sekeliling. Pertama, itu juga membayangkan bahawa anda menghormati pendapatnya.

Kedua, hal itu akan menunjukkan bahawa anda cukup produktif untuk tidak membuang masa mencuba sesuatu itu sendiri.

Akhirnya, ia menunjukkan bahawa anda mengambil berat tentang kerja anda. Cukup untuk mengakui apabila anda tidak tahu sesuatu dan kemudian belajar daripada situ.

10. Ambil alih urusan kerja

Mempunyai sedikit masa tambahan? Tanya bos anda atau rakan sekerja lain jika ada apa-apa yang anda boleh bantu dengan mengambil alih urusan mudah mereka.

Mereka akan menghargai sedikit bebanan yang ditanggung. Kesediaan proaktif anda untuk membantu tidak akan dilupakannya. Cubalah!