"Terima kasih Tuanku. Saya kemurungan, terperap di rumah"- TMJ prihatin situasi rakyat Johor
GELOMBANG pandemik Covid-19 bagaikan tiada kesudahan. Jika dihitung secara kasar hampir dua tahun kita 'berkurung' di rumah bagi memutuskan rantaian penularan koronavirus.
Pun begitu, emosi, mental dan fizikal rakyat Malaysia nampaknya mula terjejas dari semasa ke semasa apabila jumlah jangkitan positif Covid-19 masih mencatat 4,000 kes sehari.
Sedangkan, rakyat sudah berusaha mengikut peraturan ditetapkan pihak kerajaan. Di manakah silapnya? Sampai bila harus berterusan begini?
Situasi sedemikian telah mendapat perhatian Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Menerusi hantaran di laman sosial Facebook, Tunku Ismail berpendapat tindakan ‘mengurung’ rakyat tidak lagi relevan, selain mencadangkan agar prosedur operasi standard (SOP) dikaji semula.
Bukan itu sahaja, Tunku Ismail juga mengarahkan seluruh pentadbiran kerajaan negeri Johor mempercepatkan inisiatif memerangi wabak Covid-19.
“Sehingga kini, statistik Covid-19 masih menunjukkan jumlah kes harian yang tinggi dan rakyat kini sudah dikurung hampir dua bulan. Saya bimbang rakyat mengalami masalah kesihatan mental dan fizikal yang teruk.
“Di samping itu, masalah sosioekonomi juga timbul akibat situasi ini yang berpanjangan. Saya berpendapat bahawa SOP patut dikaji semula secara holistik dan berasaskan data sahih. Setakat mengurung rakyat sudah tidak lagi relevan,” titah Tunku Ismail.
Baca juga Fokus Bantu Rakyat, Tak Ada Masa Layan Orang Gila, Benda Gila – TMJ
Selain itu, Tunku Ismail turut mencadangkan penggunaan ‘rapid test kit’ dan test kit peribadi secepat mungkin untuk semua orang secara meluas khususnya sektor-sektor penting selain petugas barisan hadapan terutamanya sektor kritikal melibatkan pemprosesan ubatan, bahan makanan dan barang keperluan asas.
Sebagai langkah memerangi Covid-19 di negeri itu, Tunku Ismail menitahkan rakyat disaring secara meluas dan proses vaksinasi secepat mungkin.
“Saya juga telah menitahkan agar proses vaksinasi untuk Bangsa Johor dipercepatkan melalui pelbagai inisiatif termasuk untuk kerajaan negeri Johor memperoleh vaksin secara pembelian terus,” titah Tunku Ismail dalam satu kenyataan dikeluarkan unit Media dan Komunikasi Istana Bukit Pelangi dan dimuat naik dalam Facebook rasmi beliau HRH Crown Prince of Johor pada Ahad.
Perkongsian tersebut mendapat respon positif dalam kalangan warga maya.
Malah, ada yang mengambil peluang meluahkan keadaan dialami sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 (PKP3.0)
Baca juga Ustaz Ebit Terharu Jumpa TMJ, Dilayan Macam Kawan
Antaranya:
- “Alhamdulilah kita masih ada Tuanku yang prihatin tentang nasib rakyat.”
- “Terbaik Tuanku. Ribuan terima kasih kepada Tuanku. 200,000 anak Johor telah pun dikurung di Singapura sejak tahun lepas. Walaupun kebanyakan telah menerima dua suntikan sumbangan kerajaan, tetapi begitu susah nak balik tanah air kita. Sedih bila nampak makin banyak anak Malaysia tukar kad pengenalan. Sedih bila nampak Johor yang makmur terjejas akibat Covid-19.”
- “Terima kasih Tuanku. Alhamdulillah. Saya pun kemurungan, terperap di rumah bersama anak-anak kecil. Mental saya tak kuat Tuanku. PdPR pun salah satu punca saya stress dan burn out.”
“Daulat Tuanku . Bulan 6 langsung tidak boleh kerja . Terpaksa buat side job jadi food runner. Dalam hati Allah sahaja yang tahu. Takut terserempak dengan roadblock. Demi kelangsungan hidup dan mengelak dari tergolong dalam golongan meminta-minta, saya cuba usaha pelbagai cara untuk dapatkan duit beli susu anak dan barang keperluan lain.”
Sumber: Facebook HRH Crown Prince of Johor
Foto: hrhcrownprinceofjohor
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang