SAMBUTAN Aidilfitri yang disifatkan agak muram kali ini menyebabkan kita terpaksa ‘berkurung’ saja di rumah demi mengekang penularan virus Covid-19.

Situasi berkenaan pastinya mendorong kita banyak makan, bukan?

Ya lah, tiada aktiviti yang dapat kita lakukan, jadi, makan dan makan sajalah. Selepas itu, kita tidur atau menonton televisyen. Nak bersenam, hmm…mesti tak kuasa, bukan?

Bila hal sebegitu berlaku, sudah pasti kolestrol dalam badan makin meningkat!

Mana tidaknya, menu Aidilfitri bukan sembarangan.

Daging, ayam, lontong, rendang dan kuih-muih semuanya itu memicu kepada kadar kolestrol yang tinggi yang boleh menyebabkan pelbagai komplikasi kesihatan.

Anda perlu tahu, kolesterol jahat (LDL) yang terkumpul akan mengeras dan menjadikan dinding arteri kita menjadi sempit.

Lama-kelamaan, masalah itu akan membentuk plak sehingga boleh menyebabkan saluran darah tersumbat.

Lebih parah, seseorang itu juga boleh mendapat serangan jantung dan strok tau!

Melihat situasi itu, hari ini, SinarPlus ingin berkongsi senarai makanan yang dapat membantu menurunkan kolesterol setelah lima hari kita semua menikmati menu lebaran di rumah.

Jangan gusar, penulis yakin kesemuanya sangat mudah untuk didapati. Berikut perinciannya menurut sumber cnnindonesia.com:

1. Strawberi

Kandungan polifenol dalam strawberi membantu menurunkan tekanan darah dan kadar LDL serta meningkatkan kadar kolesterol baik (HDL).

2. Tomato

Tomato adalah sumber vitamin A dan C yang mengandungi sebatian antioksidan lycopene.

Sebatian berkenaan mempunyai peranan penting dalam menurunkan kadar kolesterol jahat.

3. Epal

Pengambilan epal dapat membantu mengurangkan kadar kolesterol jahat berkat sebatian fenolik yang terdapat di kulit.

Fenolik sendiri adalah sebatian antioksidan yang meningkatkan fungsi sel yang sihat dan aliran darah yang baik.

4. Avokado

Avokado terkenal dengan kandungan lemaknya yang sihat.

Selain dapat mengurangkan risiko penyakit jantung dan strok, lemak sihat dalam avokado juga dapat membantu meningkatkan kolesterol baik dan menurunkan kolesterol jahat.

Satu kajian mendapati bahawa pengambilan satu biji avokado sehari diikuti diet rendah lemak, ia dapat menurunkan kadar kolesterol jahat hingga 13.5 miligram (mg) per desiliter (dL).

5. Anggur

Anggur mengandungi sebatian polifenol yang dapat mencegah kerosakan sel.

Pengambilan kira-kira 100 hingga 200 gram (g) anggur sehari dapat membantu melindungi sel dan mengurangkan keradangan serta menghalang penumpukan kolesterol pada dinding arteri.

6. Pisang

Serat larut yang terdapat dalam pisang dapat membantu menurunkan kadar kolesterol.

Serat larut itu berfungsi dengan menghalang penyerapan kolesterol.

Bukan itu sahaja, pisang juga membantu membuang kolesterol melalui sistem pencernaan dan menghalangnya bergerak ke aliran darah dan menyumbat saluran darah.

7. Buah pear

Buah pear mengandungi serat pektin semula jadi yang sangat tinggi.

Sebenarnya, kandungan serat tersebut membantu menurunkan kadar kolesterol jahat dalam darah hasil bantuan pektin yang berfungsi dengan mengikat kolesterol dan membawanya keluar dari badan sebelum diserap.

Iklan

8. Kekacang

Pengambilan kacang juga diketahui dapat membantu menurunkan kadar kolesterol dalam darah.

Sebagai contoh kacang pis kerana ia mempunyai serat, mineral dan protein yang tinggi.

Memetik perkongsian daripada portal kesiihatan, healthline.com, menggantikan beberapa biji-bijian dan daging yang diproses dengan kacang dapat mengurangkan risiko penyakit jantung.

Selain itu, terdapat satu kajian menunjukkan bahawa pengambilan kira-kira 100g kacang setiap hari berkesan untuk mengurangkan kadar kolesterol jahat hingga 6.6 mg/dL.

9. Kacang almond

Kacang almond kaya akan L-arginine yang membantu tubuh memproduksi oksida nitrat yang membantu mengatur tekanan darah.

Bukan itu sahaja, ia juga mengandungi fitosterol yang dapat membantu menurunkan kolesterol dengan menghalangi penyerapannya pada usus.

10. Ikan

Dengan memakan ikan seperti salmon dan makarel, orang ramai boleh memanfaatkan sumber asid lemak omega-3 yang terkandung di dalamnya.

Omega-3 disebut dapat menjaga kesihatan jantung dengan meningkatkan kadar kolesterol yang baik dan mengurangkan risiko radang dan strok.

Iklan

Untuk mendapatkan hasil yang terbaik, anda disarankan menggunakan kaedah memasak mengukus atau merebus.

Jika boleh, elakkan kaedah menggoreng kerana ia menyumbang kepada peningkatan risiko penyakit jantung dan strok.

11. Coklat gelap

Beberapa kajian menunjukkan bahawa coklat gelap dapat menurunkan kadar kolesterol jahat dalam darah.

Kajian mendapati bahawa orang dewasa yang sihat yang meminum minuman coklat dua kali sehari selama sebulan menurunkan kadar kolesterol jahat hingga 6.5 mg/dL.

Namun, perlu diingat, sebilangan produk coklat sering mengandungi banyak gula yang juga boleh memberi kesan negatif kepada kesihatan jantung.

Jadi, ambil coklat gelap dengan kandungan koko lebih dari 75 peratus.

12. Bawang putih

Tidak hanya berperanan sebagai rempah di dapur, bawang putih juga dipercayai dapat membantu menurunkan kadar kolesterol dalam darah.

Bawang putih mengandungi pelbagai sebatian kuat, termasuk alicin, sebagai salah satu sebatian utama.

Selamat mencuba!