Teruja! Jualan nanas atas talian meningkat sepanjang PKP berbanding jualan langsung

Teruja! Jualan nanas atas talian meningkat sepanjang PKP berbanding jualan langsung
May 11, 2020
Oleh Meen

NANAS dan sambutan Aidilfitri sememangnya tidak dapat dipisahkan memandangkan ia bahan utama untuk menghasilkan beberapa jenis kuih-muih apabila perayaan itu tiba.

Bagaimanapun, penjualannya terjejas susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menyebabkan sebilangan pekebun tanaman itu mengambil inisiatif untuk menukar kaedah jualan demi kelangsungan hidup.

Iklan

Pengusaha tanaman nanas, Mohd Fairuz Mohd As’ari berkata, setelah 10 tahun menanam nanas di kebunnya di Jalan Muar-Air Hitam, Batu Pahat, inilah kali pertama beliau menjual kebanyakan hasil tanamannya secara dalam talian berbanding menjual kepada pemborong dan pembekal sebelum ini.

“Pada mulanya saya agak kekok untuk melaksanakan perniagaan secara dalam talian termasuklah kaedah promosi nanas dengan menggunakan beberapa laman sosial dan aplikasi telefon pintar, namun setelah hampir dua bulan, ia sudah menjadi rutin dan lebih memudahkan.

“Saya agak bimbang berlakunya lambakan nanas apabila tibanya Syawal tahun ini pada asalnya tetapi jangkaan berkenaan meleset apabila permintaan tetap ada walaupun perniagaan dilakukan bukan seperti kebiasaan,” katanya.

Iklan

Sebaik promosi dalam talian dilakukan, Mohd Fairuz, 35, agak terkejut apabila menerima lebih ramai pembeli terutamanya mereka yang mahu mendapatkan secara terus daripadanya secara kecil-kecilan.

Malah, beliau menghantar sendiri pesanan berkenaan kepada pelanggan.

Iklan

Beliau yang memiliki kira-kira 10 ekar (4.047 hektar) kebun nenas berkata kebanyakan hasil tanamannya itu akan dijadikan jem oleh pelanggan apabila tiba Hari Raya Aidilfitri bagi menghasilkan beberapa jenis kuih popular seperti tat nenas, tat gulung, bahulu lapis dan bahulu gulung.

Katanya, jualan tanamannya hanya terjejas pada awal pelaksanaan PKP, namun kini trend jualan itu hampir kembali normal melainkan untuk pasaran eksport yang masih tertangguh.

“Saya menanam tiga jenis nenas iaitu MD2, Josapine dan Morris, yang mana kini jualan nenas berkenaan mencecah 100 kilogram setiap hari, kurang sedikit daripada sebelum PKP, namun dijangkakan akan meningkat pada minggu hadapan.

“Saya juga berterima kasih kepada Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) yang turut membeli sebahagian hasil tanaman saya kali ini bagi mengelakkan berlakunya lambakan terutamanya bagi jumlah nenas yang kebiasaannya dieksport,” katanya.

BERNAMA

Iklan

About Meen

Biodata Penulis
Iklan