PELBAGAI negara menerapkan pelbagai dasar dalam menangani penyebaran wabak virus Covid-19 yang kini melanda dunia.

Beberapa negara seperti New Zealand, Indonesia, Denmark, India dan Itali telah melaksanakan dasar lockdown. Tidak terkecuali Malaysia yang melaksanakan dasar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang kini memasuki fasa ke empat.

Dasar tersebut dianggap sebagai salah satu cara untuk memecahkan rangkaian jangkitan Covid-19 dengan menahan individu masuk dan keluar dari kawasan atau sesuatu negara.

Walaupun begitu, ada beberapa negara yang sebenarnya mampu membendung penyebaran Covid-19 tanpa menerapkan lockdown seperti Korea Selatan, Taiwan dan Iceland.

Sinar Plus kongsikan langkah-langkah yang diambil oleh ketiga-tiga negara tersebut sehingga mereka dikatakan ‘menang’ tanpa lockdown.

Korea Selatan

Korea Selatan merupakan negara yang mencatat kes jangkitan Covid-19 kedua tertinggi setelah China pada awal penyebaran virus tersebut.

Pemerintahan Presidennya, Moon Jae-in dianggap berjaya menangani penularan Covid-19 secara efektif dan cukup cepat tanpa mengistiharkan lockdown.

Tidak sampai tiga bulan, Korea Selatan telah jatuh dari negara kedua tertinggi kes Covid-19 yang dilaporkan kepada kedudukan ke-24 di dunia sehingga kini.

Menurut Ketua Jabatan Kesihatan Awam Global Universiti Edinburgh, Profesor Devi Sridhar, kaedah pemeriksaan berkala yang diterapkan oleh Korea Selatan adalah satu-satunya cara untuk menangani wabak tersebut.

Memetik laporan portal Foreign Policy, Sridhar mengatakan bahawa negara lain harus mencontohi Korea Selatan yang berkaitan dengan sistem pengendalian dan pemeriksaan virus Covid-19.

Korea Selatan mempunyai sekitar 51 juta penduduk dan pemerintah Presiden Moon melakukan ujian Covid-19 pada lebih dari 20 ribu orang setiap hari dan tidak hanya bergantung pada hospital sebagai pemeriksaan wabak tersebut.

Untuk memudahkan rakyat, Korea Selatan membuka kaunter ujian peperiksaan Covid-19 melalui perkhidmatan padu lalu di beberapa kawasan selain ibu kota Seoul.

Korea Selatan juga cukup ketat dalam mengawasi warga asing. Setiap warga asing diminta memasang aplikasi yang dapat memantau pergerakan mereka semasa berada di Korea Selatan.

Dalam permohonan aplikasi tersebut, pendatang juga diminta untuk mengisi butiran peribadi kesihatan setiap hari.

Aplikasi itu juga dapat mengesan kehadiran pendatang asing dan pihak yang dipertanggungjawabkan akan memantau pergerakan mereka semasa tiba di Korea Selatan.

Pada mereka yang ingkar dan tidak mengikut garis panduan akan dikenakan tindakan undang-undang yang telah ditetapkan.

Satu usaha yang wajar dicontohi! Syabas Korea Selatan!

Iceland

Iceland juga antara salah satu negara yang tidak mengistiharkan lockdown. Salah satu kunci kejayaan Iceland juga terletak pada pemeriksaan besar-besaran penduduknya.

Negara Nordik itu telah menjadi salah satu negara dengan tahap pemeriksaan Covid-19 tertinggi daripada negara dan wilayah lain di dunia.

Sehingga hari ini, Iceland mempunyai 1.711 kes Covid dengan sembilan kes kematian dilaporkan. Berdasarkan data Worldometer, Iceland telah memeriksa 41.091 warganya.

Ini menggambarkan bahawa Iceland melakukan ujian Covid-19 ke atas 120,416 penduduk dari setiap satu juta penduduk.

Memetik laporan The Guardian, Iceland melakukan ujian ke atas semua orang yang tidak menunjukkan gejala Covid-19 dan berdasarkan hasil ujian makmal, 50 peratus kes Covid-19 di Iceland tidak menunjukkan gejala

Taiwan (Republik China)

Seterusnya Taiwan. Taiwan juga telah berjaya mengurangkan jumlah jangkitan kes Covid-19 di wilayahnya tanpa lockdown.

Iklan

Sejak kes pertama yang dikesan pada 21 Januari dan hingga hari ini, Taiwan telah mencatatkan 422 kes korona dengan enam kematian sahaja.

Tiga negara menang tanpa ‘lockdown’

Dua kunci kejayaan yang dikatakan sangat membantu Taiwan dalam menekan kadar penghantaran wabak pembunuh tersebut adalah pemeriksaan berkala dan sikap pemerintah yang pantas.

Pemerintah Taiwan segera memeriksa pendatang asing dan pesawat yang berasal dari China, terutama Wuhan, dari 31 Disember 2019.

Pada masa itu, virus Covid-19 masih disebut virus misteri yang pertama kali muncul dan menyebar di Wuhan, China.

Di samping itu, wilayah yang terletak hanya 100 batu dari daratan China itu juga segera membuat sistem kenal pasti kontak untuk mengesan kemungkinan orang yang disyaki dijangkiti Covid-19, membangun sistem kuarantin bebas dan meningkatkan pengeluaran peralatan perubatan seperti topeng dan PPE sejak Januari lalu.

Belajar dari pengalaman menangani wabak SARS pada tahun 2003, pemerintah Taiwan juga segera mengambil alih pengeluaran dan pengedaran topeng yang kini merupakan barang yang sukar didapati dan mahal di beberapa negara akibat penularan Covid-19.

Di peringkat pemerintah, Taiwan segera mendirikan pusat komando penanganan korona yang diketuai oleh kementerian kesihatan.

Iklan

Pusat komando bertanggungjawab dari menangani semua sumber yang berkaitan dengan penanganan virus hingga mengadakan sidang media secara berkala untuk melaporkan perkembangan penanganan wabak kepada masyarakat secara berkala.

Taiwan juga melancarkan pemetaan kelompok Covid-19 untuk meningkatkan kesedaran setiap warganya.

Selain itu, Taiwan juga menggunakan teknologi dengan membuat aplikasi sama seperti Korea Selatan yang dapat mempermudahkan warga negara untuk mendapatkan bekalan topeng muka di setiap farmasi dan kedai ubat.

Pejabat imigresen Taiwan juga menyediakan akses ke hospital dan klinik untuk membuka sejarah perjalanan setiap suspek kepada pesakit Covid-19 selama 14 hari terakhir untuk memaksimumkan diagnosis dan pengesanan.

Ternyata setiap langkah yang dibuat oleh ke tiga-tiga negara ini sangat membuahkan hasil. Sinar Plus juga percaya jika setiap negara lain menerapkan langkah-langkah tersebut wabak pembunuh ini juga mampu dihapuskan.

Apa yang penting sikap kesedaran yang tinggi dan orang ramai perlu berdisplin untuk ‘menang’ menantang wabak pembunuh yang dikenali sebagai Covid-19.

Kita pasti menang! #PastiAdaSinar