Topeng muka, tisu, 'sampah korona' yang dibuang merata
"xxpale xxna la...ksian pda org kat tingkat bwah..rumah stiap masa bau smpah dri org yg tidak bertangungjwab...buang la sampah kat tempat yg betul..cuba la bijak sikit..otak jgn letak kat lutut...PPR GOMBAK SETIA 41...."
ITU antara perkongsian penduduk yang tinggal di perumahan bertingkat di kawasan Gombak, Selangor yang marah dan kesal dengan sikap tidak bertanggungjawab jirannya.
Bayangkanlah, sampah hanya dicampak dari tingkat atas perumahan berkenaan. Buangan yang terkumpul itu sudah tentulah mengganggu kehidupan penduduk berhampiran.
Menunjukkan perkongsian gambar, longgokan sampah yang bertimbun hingga belum membukit. Tapi sudah dapat dibayangkan bagaimana keadaan itu, bukan?
Melihat buangan itu melalui perkongsian foto saja sudah cukup menyesakkan.
Ya, musim Covid-19 Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sememangnya perlu dipatuhi. Bagaimanapun janganlah 'mengambil kesempatan' itu untuk malas membuang sampah ke tempat yang betul.
Tambahan pula jika mereka yang tinggal di perumahan bertingkat. Sesungguhnya, mereka yang biasanya akan menjadi mangsa ialah penduduk yang tinggal di unit kediaman paling bawah. Tidak kasihankah?
Bayangkanlah anda di tempat mereka. Rasakanlah azabnya!
Isu rakyat Malaysia dan sampah ibarat irama dan lagu yang tidak dapat dipisahkan.
Itu perihal sampah domestik. Dalam musim Covid-19 ini juga penulis membaca ramainya yang mengeluh tentang 'sampah korona' yang dibuang merata-rata.
Tahu apakah sampah korona itu? Ironinya, paling banyak ialah 'sampah' penutup hidung dan mulut atau topeng muka pembedahan yang digunakan untuk melindungi diri yang dibuang merata-rata.
Wahai rakyat Malaysia sekalian, di saat semua orang perlu mematuhi PKP dan ramai mak cik dan pak cik cleaner bercuti, janganlah anda menambah sampah sedia ada dengan sampah yang menyakitkan pandangan mata ini.
Menurut adik penulis yang bertugas menjaga sekatan jalan raya, sepanjang musim PKP ini, topeng hidung dan mulut juga antara yang lazim ditemui di jalan raya.
Satu lagi 'sampah korona' yang bersepah ialah tisu. Mengapa penulis menggelar sampah-sampah tersebut sedemikian, di musim Covid-19 inilah sampah tersebut tambah bersepah.
Satu lagi yang agak mengejutkan penulis, tisu dalam lif yang disediakan untuk membalut jari bagi menekan butang lif supaya mengelakkan penularan Covid-19, hanya dibuang dalam lif sama juga di lantai begitu saja.
Gambar yang ditularkan memperlihatkan kejadian berlaku di sebuah hospital tempatan di Selangor.
Sungguh tidak bertanggungjawab!
Bayangkanlah jika 'sampah-sampah korona' ini adalah bahan buangan oleh mereka yang positif wabak Covid-19. Tidakkah akan menganiaya orang lain?
Bilalah rakyat Malaysia hendak berubah?
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang