UMUM mengetahui Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan malam tadi mengumumkan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi atau ‘total lockdown’ Fasa Pertama di seluruh negara selama 14 hari, bermula 1 Jun ini hingga 14 Jun depan.

Menerusi total lockdown atau perintah berkurung penuh itu, semua sektor tidak dibenarkan beroperasi kecuali sektor ekonomi dan perkhidmatan perlu yang akan disenaraikan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Keputusan tersebut dibuat selepas mengambil kira situasi terkini penularan Covid-19 di Malaysia dengan jumlah kes harian melebihi 8,000 kes dan kes aktif melebihi 70,000 kes (semalam).

Namun, apa yang menjadi tanda tanya orang ramai apabila hari ini lebuh raya laluan ke Pantai Timur dan Selatan mengalami kesesakan.

Perkara tersebut turut mendapat perhatian Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah yang turut mempersoal arah tuju sesetengah individu hingga menyebabkan kesesakan di sekatan jalan raya (SJR).

Menerusi perkongsian di media sosial, beliau berkata pergerakan besar-besaran masih berlaku walaupun larangan rentas daerah dan negeri telah dikuatkuasakan.

“Ke manakah arah tujuan anda pada hujung minggu ini?

“Pergerakan besar-besaran masih berlaku walaupun larangan merentas daerah dan negeri telah dikeluarkan. Membawa jangkitan wabak dari satu kawasan ke satu kawasan lain tidak akan membantu dalam usaha kita untuk membendung penularan jangkitan virus Covid-19,” katanya.

Menerusi perkongsiannya yang beserta beberapa tangkap layar keadaan tersebut, beliau pada masa sama mengulangi peringatan kepada rakyat Malaysia untuk kekal duduk di rumah dan hanya keluar jika ada urusan penting.

Awas! PKRC Maeps 2.0 kritikal, pesakit Covid-19 kategori 3 semakin bertambah

Beliau turut merayu supaya rakyat Malaysia membantu menyelamatkan sistem kesihatan negara yang bakal lumpuh sekiranya peningkatan kes Covid-19 tidak terkawal.

Iklan

“Sekiranya kami rebah, anda dan ahli keluarga anda mungkin tidak akan menerima rawatan kesihatan yang sebaiknya.

“Jika lebih malang, tiada lagi katil untuk anda di hospital. Apatah lagi jika anda tenat dan kritikal tetapi katil ICU (unit rawatan rapi) sudah penuh semuanya,” katanya.

"Ingat demam biasa, lepas seminggu sah positif. Perasaan koyak anak 8 bulan pun kena"- Peguam dedah pengalaman Covid-19

Baca juga Pelitup muka jenis N95, double mask lebih cekap tapis zarah. Elak jangkitan Covid-19

Iklan

Beliau turut mengakui, petugas barisan hadapan kini sudah penat, namun mereka akan terus gagah demi menyelamatkan nyawa.

Justeru, kekallah berada di rumah. Amalkan SOP yang telah ditetapkan agar dapat memutuskan rantaian Covid-19 ini.