BERMULA dengan Twitter, kini Facebook dan Instagram ikut jejak langkah laman sosial tersebut dengan menyekat akaun Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.

Menurut laporan Agensi Berita Anadolu, langkah itu diambil kerana rusuhan melampau berlaku selepas penyokong Trump menyerbu bangunan Capitol.

Amaran sekatan selama 12 jam yang dikenakan oleh Twitter semalam mungkin akan dilanjutkan sekiranya Trump gagal memadam ciapan yang melanggar polisi syarikat itu.

Jika Trump masih enggan, ia juga boleh menyebabkan akaunnya ditutup serta merta.

“Ekoran situasi kekacauan yang belum pernah terjadi sebelum ini dan berterusan di Washington DC, kami telah meminta tiga Tweet @realDonaldTrump yang disiarkan awal hari ini dipadamkan kerana melanggar peraturan terhadap dasar Integriti Sivik kami,” kata syarikat media sosial itu di laman webnya.

Twitter sebelum ini menyekat tiga ciapan Trump termasuk video yang dimuat naik beliau mengulangi dakwaannya pilihan raya presiden “dicuri dari kami” dan menggesa penyokongnya pulang.

Sementara itu ciapan kedua yang dibuat Trump adalah mempertahankan apa yang dilakukan penyokongnya.

Facebook dan YouTube juga mengambil tindakan sama dengan memadam video tersebut. Facebook dan anak syarikatnya Instagram pula menyekat akaun Trump selama 24 jam bermula hari ini.

Iklan

Facebook juga mengesan dua pelanggaran polisi di laman akaun Presiden Trump yang menyebabkan ia disekat selama 24 jam.

Ini bermaksud Trump tidak boleh memuat naik sebarang posting di platform media sosial itu sepanjang tempoh 24 jam jika ia tidak dilanjutkan.

Trump dan sekutu politiknya berbulan-bulan mendakwa kekalahan kepada Demokrat Joe Biden pada pilihan raya baru-baru ini disebabkan penipuan.

Iklan

Oleh itu ia mencetus kemarahan dalam kalangan penyokongnya dan teori konspirasi yang dihujahkan beberapa kali ditolak di mahkamah.

Jabatan Kehakiman juga tidak menemukan bukti untuk menyokong dakwaannya mengenai wujudnya penipuan pengundian.