SEJAK semalam, tular mesej menerusi aplikasi Whatsapp kononnya Hari Raya Aidilfitri kali ini bakal disambut sehari awal iaitu pada hari Isnin depan.

Mesej berkenaan yang memetik konon bersumberkan dari Jabatan Mufti Melaka dan Balai Cerap Al-Khawarizmi di negeri berkenaan yang dikongsi ramai warganet.

Hantaran itu mendakwa umat Islam perlu bersedia kemungkinan besar tarikh 1 Syawal akan jatuh pada 2 Mei depan dan tidak sebagaimana 3 Mei yang tertera di kalendar ketika ini.

Mesej tersebut malahan menyatakan konon perubahan itu disebabkan perkiraan syarat kenampakan hilal mengikut kaedah imkanur rukyah tahun ini menggunakan format baharu.

Bagaimanapun, hari ini Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) memaklumkan, Malaysia menggunakan kaedah Rukyah dan Hisab dalam menentukan awal bulan hijri termasuk tarikh awal puasa, Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha.

Menerusi satu kenyataan, Ketua Pengarah Jakim, Datuk Hakimah Mohd Yusoff menegaskan kaedah itu adalah selaras dengan kehendak syarak dan mengikut kaedah ilmu falak dan astronomi yang telah dipersetujui oleh semua negeri.

 

“Berkaitan penentuan awal Syawal 1443H atau tarikh Hari Raya Aidil Fitri pada tahun ini, aktiviti cerapan rasmi di seluruh negeri di Malaysia akan dilaksanakan di 29 lokasi pada petang Ahad, 29 Ramadan 1443H bersamaan 1 Mei 2022M.

“Aktiviti cerapan anak bulan ini dilakukan oleh Jawatankuasa Melihat Anak Bulan/Rukyah Negeri yang dipengerusikan oleh Sahibus Samahah Mufti Negeri dan ahlinya terdiri daripada pakar falak, alim ulamak, pegawai falak yang berkemahiran serta Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM). Data rukyah yang digunakan adalah data rasmi untuk Malaysia yang dikeluarkan oleh JUPEM,” katanya.

Dalam pada itu, pengumuman rasmi tarikh Hari Raya Aidilfitri akan dibuat oleh Penyimpan Mohor Besar Raja Raja (PMBRR) selaku pihak berkuasa yang diamanahkan oleh Majlis Raja-Raja pada malam tersebut tertakluk kepada hasil aktiviti cerapan anak bulan di semua lokasi yang telah ditetapkan.

Iklan

Selain itu, pihak Jakim menasihatkan semua pihak supaya menghormati proses penentuan rasmi tarikh hari raya di negara ini yang telah dilaksanakan sejak sekian lama dan menyerahkan tanggungjawab tersebut kepada pihak berautoriti.

Justeru, tidak perlu disebarkan sesuatu yang belum pasti. Hanya tunggu pengumuman pihak yang terbabit.

Iklan

Selamat hari raya!