PENDATANG Asing Tanpa Izin (PATI), Pendatang Tanpa Izin (PTI) atau pendatang haram merupakan golongan orang yang masuk atau tinggal di sesebuah negara secara haram.

Memasuki secara haram bermaksud kedatangan mereka ke nagara ini tidak mengikut undang-undang imigrasi.

Sebagai contoh, kebanyakan PATI memasuki negara tanpa permit, bukan dengan melalui pintu masuk utama iaitu menerusi lorong tikus atau diatur oleh sindiket pemerdagangan manusia.

Pendatang tanpa izin yang menceroboh negara ini ditahan di Depot Tahanan Imigresen (DTI) dan diberikan kemudahan kesihatan, makan dan minum empat kali sehari, serta beberapa keperluan lain, bagi memastikan hak asasi manusia terpelihara sebelum warga asing ini dihantar pulang ke negara masing-masing.

Bagaimanapun, baru-baru ini tular sebuah video yang memaparkan kejadian PATI meninggalkan Depot Imigresen Sementara di Relau, Sungai Bakap Bandar Baharu di Kedah.

Kredit foto: Bernama

Beberapa video yang dikongsikan menerusi Facebook Komuniti Sungai Acheh memaparkan PATI bertempiaran lari tanpa tujuan. Berikut adalah kronologi mengenai kejadian terbabit;

1. Kejadian yang dirakam terjadi di Depot Imigresen Sementara di Relau yang melibatkan ratusan PATI yang ditahan melarikan diri.

2. Insiden ini bermula dari protes yang berlaku lebih kurang jam 5.00 pagi, 20 April 2022 oleh 650 orang tahanan Rohingya sebelum bertukar menjadi rusuhan.

3. Seramai 528 tahanan etnik Rohingya melarikan diri dengan memecahkan pintu blok dan pagar penghadang.

4. Daripada jumlah itu, seramai 351 orang berjaya ditahan oleh pihak polis, penduduk kampung dan Jabatan Imigresen.

Iklan

5. Dalam misi melarikan diri, seramai enam tahanan terlibat kemalangan. Kemalangan terbabit enam nyawa termasuk dua lelaki dewasa, dua wanita dewasa, satu kanak-kanak perempuan dan satu kanak-kanak lelaki.

6. Manakala 171 orang tahanan termasuk kanak-kanak dan warga emas masih hilang dan sedang dikesan.

7. Kemalangan tersebut terjadi pada jam tadi pada jam 6.50 apabila keenam-enam tahanan cuba semasa melintasi jalan raya di Kilometer 168 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) menghala selatan iaitu berhampiran Jawi.

8. Ketua Pengarah Imigresen Malaysia meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai tahanan yang lari diminta untuk memaklumkan kepada pihak imigresen atau polis.

9. Ketua Polis Kedah, CP Wan Hassan Wan Ahmad memaklumkan siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk pihak pengawal dan yang merusuh.

Iklan

10. Terdapat kesan umpil dan pecah didapati pada pintu utama dan pusat tahanan wanita.

Polis melancarkan Op Kesan bagi menjejaki 171 pelarian Rohingya lari dari depot berkenaan. Orang ramai dinasihatkan untuk menyalurkan maklumat kepada balai polis berdekatan sekiranya mendapati mana-mana yang masih bebas.

Kesalahan melindungi atau menggaji PATI

Melindungi atau menggaji PATI atau membenarkan PATI dalam premis adalah satu kesalahan. Menurut Jabatan Imigresen Malaysia, ia yang tertakluk dalam undang-undang seperti berikut;

a. Seksyen 55B. Mengambil pekerja satu atau lebih orang selain daripada warganegara atau pemegang Permit Masuk yang tidak memiliki suatu pas yang sah.

Hukuman:
i. Denda tidak kurang RM10,000 tetapi tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih 12 bulan atau kedua-duanya sekali bagi setiap orang pekerja yang diambil.

ii. Pada masa yang sama mengambil pekerja lebih dari 5 orang dikenakan penjara tidak kurang enam bulan tetapi tidak lebih lima tahun dan boleh dikenakan tidak lebih 6 sebatan.

b. Seksyen 56(1)(d)
Dengan sengaja memberi perlindungan kepada mana-mana orang yang diketahuinya telah melanggar peruntukan akta.

Hukuman:
Denda tidak kurang RM10,000 tetapi tidak lebih RM50,000. Sekiranya lebih daripada 5 orang boleh dikenakan penjara tidak kurang enam bulan tetapi tidak lebih lima tahun dan boleh dikenakan tidak lebih enam sebatan.

c. Seksyen 55E Mana-mana orang yang membenarkan mana-mana Pendatang Tanpa Izin (PATI) memasuki atau tinggal di dalam premis yang ianya mempunyai kepentingan sebagai penyelia atau menguruskan atau mempunyai kawalan ke atas mana-mana premis tersebut.

Hukuman:
Denda tidak kurang RM5,000 tetapi tidak lebih RM30,000 atau penjara tidak lebih 12 bulan atau kedua-duanya sekali bagi setiap Pendatang Tanpa Izin. Bagi kesalahan kedua, denda tidak kurang RM10,000 tetapi tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali.