UNIVERSITI Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menjadi tuan rumah Program Jom Masuk IPT 2020 Zon 5 yang bakal diadakan di Amanjaya Convention Centre Casuarina, Meru, Perak pada 14 sehingga 15 Mac ini.

Naib Canselor, Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, program anjuran Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan itu memberi peluang kepada lepasan sekolah menengah, lepasan diploma dan setaraf melanjutkan pengajian di pelbagai institusi pendidikan tinggi di negara ini.

“Program tersebut merupakan landasan kepada semua institusi pendidikan tinggi dalam negara untuk mempromosi dan menyebar luas maklumat terkini mengenai peluang pendidikan tinggi yang ditawarkan kepada masyarakat setempat khususnya pelajar sekolah, guru dan ibu bapa.

“Menerusi program ini juga pengunjung boleh mendapatkan khidmat nasihat mengenai pelbagai peluang melanjutkan pengajian dan juga program yang ditawarkan mengikut kesesuaian kelayakan akademik pelajar.

“Pelajar boleh mendapatkan panduan daripada petugas di ruang pameran UPSI berkaitan syarat- syarat kemasukan kerana UPSI yang mana menawarkan sehingga 62 program meliputi 35 program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan, 15 program Ijazah Sarjana Muda Bukan Pendidikan dan 12 program Diploma, di samping mereka dapat mengetahui kaedah- kaedah permohonan dan tarikh-tarikh penting yang perlu diambil perhatian,” katanya.

Lebih 80 ruang pameran akan dibuka melibatkan Universiti Awam, Politeknik, Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS), Kolej Komuniti, Institut Latihan Kemahiran Awam (ILKA) dan 14 agensi-agensi termasuk Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Bank Simpanan Nasional (BSN), Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Institut Perguruan (IPG) dan lain-lain lagi.

Iklan

Selain itu, turut diadakan pameran dari fakulti-fakulti dan pusat kecemerlangan seperti National Child Development Research Centre (NCDRC), hasil seni daripada pelajar-pelajar UPSI di samping penampilan khas maskot UPSI bernama ID-res.

Iklan

Jom Masuk IPT 2020 akan diteruskan di tiga lagi zon iaitu di Zon 6, Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri Terengganu (14 dan 15 Mac), Zon 7, Borneo Convention Centre (21 dan 22 Mac) dan Zon 8, MAEPS, Serdang (28 dan 29 Mac 2020).

Sumber: Universiti Pendidikan Sultan Idris