UMUM mengetahui vaksin khusus untuk merawat Covid-19 belum ditemui. Ia dijangka berada di pasaran antara tempoh setahun atau setahun setengah memandangkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO)  masih melakukan penyelidikan.

Pada masa sama pihak WHO juga sedang meneliti beberapa sebatian untuk membangunkan vaksin wabak tersebut.

Biarpun tanpa penawar para pesakit Covid-19 tidak dibiarkan begitu sahaja, sebaliknya pasukan perubatan berusaha menyediakan rawatan terbaik dari semasa ke semasa.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) misalnya, sentiasa proaktif mengenalpasti ubat yang boleh membantu pesakit virus berkenaan.

Antaranya adalah dengan menggunakan tiga jenis ubat seperti chloroqouine dan hydroxychloroquine serta kombinasi Lopinavir/Ritonavir yang sebelum ini digunakan merawat pesakit malaria.

Bahkan, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump turut menularkan mengenai hydroxychloroquine di dalam laman sosial, Twitter beliau dengan menyatakan ubat antimalaria itu menunjukkan potensi luar biasa.

covid 19

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, chloroqouine dan hydroxychloroquine diberikan kepada pesakit Covid-19 berikutan ia bersifat antiradang.

“Apabila virus ini (Covid-19) melekat di saluran pernafasan bawahan ia akan menyebabkan radangan.

“Oleh itu, penggunaan ubat-ubatan ini membantu mengurangkan radangan terbabit,” jelas beliau pada satu sidang akhbar khas sekitar Mac lalu.

Dalam perkembangan berkaitan, baru-baru ini beliau turut memaklumkan bahawa satu lagi ubat antiviral baharu iaitu Remdesivir akan diperkenalkan bagi merawat pesakit Covid-19.

Iklan

Jelas Noor Hisham, pihak KKM telah menerima beberapa permohonan untuk membawa masuk ubat tersebut di negara ini.

“Setakat ini, kita meluluskan satu dua permohonan  untuk membawa masuk ubat Remdesivir.  Insya-ALLAH kita akan perkenalkan ia untuk merawat pesakit Covid-19,” terang beliau pada awal April lalu.

Direkodkan, setakat pukul 3.15 petang hari ini, Malaysia mencatatkan jumlah kematian sebanyak 63 individu manakala 1,321 kes pula dilaporkan telah sembuh daripada Covid-19.

Iklan
covid 19
ORANG ramai dinasihatkan supaya sentiasa mencuci tangan dan memakai topeng muka bagi mengelakkan jangkitan virus Covid-19. 

Krisis Covid-19 yang mencecah status pandemik dapat dikurangkan sekiranya rakyat Malaysia memberi kerjasama mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 14 April depan.

Inisiatif duduk di rumah tanpa melakukan aktiviti luar bukan sahaja mengurangkan penularan, malah membantu memutuskan rantaian wabak terbabit. Ayuh, #janganputusasaMalaysia.

Foto: Unsplash, Forbes