[VIDEO]Hampir kehabisan katil, Dr Noor Hisham kongsi keadaan terkini dalam ICU
KETUA Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah hari ini tampil menggunakan media sosial untuk berkongsi gambar dan video mengenai betapa kritikalnya keadaan Covid-19 yang mempengaruhi sistem penjagaan kesihatan negara, terutamanya di Hospital Sungai Buloh.
Dr Noor Hisham memaklumkan bilangan pesakit Covid-19 yang dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) dan kritikal semakin bertambah setiap hari.
"63 pesakit ICU, dengan lebih daripada 25 pesakit kritikal untuk dipantau di wad biasa dan jabatan kecemasan, serta lebih daripada 20 kes dirujuk ke ICU setiap hari dalam tempoh satu minggu ini di Hospital Sungai Buloh," tulis beliau di Twitter.
Jelas beliau, kadar penggunaan katil rawatan kritikal ICU Covid-19 di Lembah Klang secara purata keseluruhannya telah mencapai 90% setakat pagi ini.
Manakala enam buah hospital yang mempunyai katil ICU khusus bagi merawat pesakit Covid-19 dilaporkan melebihi ambang amaran iaitu 70 peratus penggunaan.
Menurutnya, ia melibatkan Hospital Sungai Buloh, Hospital Kuala Lumpur, Hospital Ampang, Hospital Serdang, Hospital Selayang dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang, di mana ada di antaranya telah pun menghampiri 100 peratus.
Sebanyak 80 katil rawatan kritikal diwujudkan secara 'repurposed' di hospital sekitar Lembah Klang bagi memenuhi keperluan peningkatan jumlah pesakit Covid-19 yang kritikal.
Katanya, jumlah katil itu juga akan ditambah mengikut keperluan di wad biasa yang ditukar fungsi kepada katil kritikal.
Hospital Sungai Buloh yang beroperasi sepenuhnya sebagai hospital Covid-19 akan meningkatkan kapasiti katil rawatan kritikal secara berfasa bagi memenuhi keperluan yang meningkat.
Jelasnya, Kementerian Kesihatan (KKM) juga membuat perolehan peralatan perubatan seperti ventilator sejak tahun 2020 lagi bagi membolehkan Hospital Sungai Buloh meningkatkan kapasiti katil rawatan kritikal apabila terdapat keperluan mendesak.
Tambah Dr Noor Hisham, KKM akan terus bekerjasama dengan hospital-hospital swasta, pengajar atau universiti di sekitar Lembah Klang bagi meningkatkan kapasiti katil-katil kritikal.
Ia termasuk penyumberluaran pesakit bukan Covid-19 bagi kes dan prosedur tertentu untuk dirawat di hospital swasta dengan kos ditanggung oleh kerajaan pada caj rawatan yang telah dipersetujui.
Baca juga Petugas kesihatan Kota Bharu terjelepuk kepenatan, warganet titip doa
Dr Noor Hisham turut menyatakan kebimbangan sekiranya trend peningkatan kes Covid-19 ini berterusan, maka kapasiti kesihatan akan berada pada tahap kritikal dan akan memberikan impak negatif kepada penyampaian perkhidmatan kesihatan awam secara keseluruhannya.
Dr Hisham menyeru agar pematuhan kepada SOP dapat dilaksanakan sepenuhnya dan turut mendoakan semoga petugas kesihatan terus diberi kekuatan untuk menghadapi situasi getir ini.
Orang ramai perlu kembali kepada amalan 3C iaitu jauhi kawasan yang sesak (crowded place), elakkan kawasan sempit (confined space) dan elak sembang dengan jarak dekat (close conversation).
Selain itu, terus amalkan amalan 3W iaitu kerap mencuci tangan dengan air dan sabun (wash), memakai pelitup muka di tempat awam (wear) dan peringatan KKM (warn) seperti elak bersalaman dan rawatan segera jika bergejala.
Diharapkan dengan ini kita dapat bersama-sama bergandingan mematuhi SOP. Semoga penularan Covid-19 dapat dibendung. Lindungi diri, kita jaga kita.
Sumber: FB & Twitter @DGHisham
Sharing our Critically ill Covid-19 patients in Sungai Buloh Hospital ICU. We are almost running out of beds. Please stay healthy and stay safe. pic.twitter.com/XbCFaf0JIy
— Noor Hisham Abdullah (@DGHisham) ?ref_src=twsrc%5Etfw">May 2, 2021
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang