Seterika hitam boleh bersih semula, Dr kongsi tip guna paracetamol & petroleum jelly. Siap kaitkan dengan kesihatan
“Alamak, berlubang tudung aku!".
Situasi itu sering berlaku apabila tapak seterika berkesan hitam atau hangus.
Tanpa sedar, kesan ini boleh merosakkan pakaian. Hakikatnya, seterika yang berkesan kehitaman atau hangus memang berisiko merosakkan pakaian. Silap kawal suhu, kainlah jadi mangsa.
Lagi-lagi buat mak-mak yang saban hari berdepan rutin menggosok baju sekolah anak. Penat fizikal, penat emosi.
Namun, sebelum terfikir nak gosok kuat-kuat, kikis tapak seterika atau terus masukkan dalam troli beli-belah yang baharu, ada baiknya kita berhenti sejenak.
Sebenarnya seterika itu tak rosak. Ia cuma ‘kotor’.
Perkara ini dikongsikan oleh Dr Roland Victor MD menerusi laman Facebook miliknya, yang memberi tip membersihkan permukaan seterika menggunakan PCM dan petroleum jelly.

Tip bersih tapak iron:
1. Panaskan iron (suhu sederhana).
2. Sapu petroleum jelly pada kain buruk.
3. Letakkan beberapa biji paracetamol atas kain.
4. Gosok tapak iron atas kain tersebut.
5. Kesan hangus dan kotoran akan tertanggal.
6. Lap tapak iron dengan kain bersih.
7. Iron jadi licin macam baharu.
Pada masa sama, doktor dari The KL Sky Clinic itu turut mengaitkannya dengan satu refleksi kehidupan yang cukup mendalam.
"Ramai antara kita tersilap langkah bila seterika dah hitam. Kita lawan kotoran dengan kekerasan. Gosok, kikis, paksa. Sedangkan apa yang diperlukan hanyalah mengubah keadaan, bukan melawan.
"Apabila keadaan kimia pada permukaan seterika berubah, kotoran akan tertanggal sendiri. Tanpa paksaan. Tanpa kerosakan," ujarnya.
Dan menariknya, konsep yang sama berlaku pada tubuh manusia.
"Ramai yang menganggap badan mereka ‘rosak’ bila berat makin naik, paras gula tinggi, gastrik tak sembuh-sembuh atau badan sentiasa letih walaupun cukup rehat.
"Lalu badan ditekan dengan diet semakin ketat, senaman ekstrem, ubat ditambah, suplemen ditimbun. Namun, hasilnya tetap mengecewakan," jelas beliau.
Masalah sebenar katanya bukan badan yang degil atau lemah. Tetapi asas dalaman yang belum dibetulkan, inflamasi yang tinggi, waktu makan yang tak sesuai, hormon dan sistem badan bekerja dalam persekitaran yang salah.
"Sama seperti seterika tadi. Makin ditekan, makin rosak.
"Apabila asas gaya hidup diperbetulkan, paras gula dipantau dengan lebih tepat melalui CGM, ujian darah dibuat secara menyeluruh menggunakan biomarker seperti CRP, tiroid, vitamin D dan fungsi organ, barulah kita faham apa yang tubuh sebenarnya perlukan.
"Bila ‘tuning’ betul, badan akan mula berfungsi dengan baik semula. Tanpa paksaan. Tanpa ekstrem.
"Seperti seterika yang kembali licin, bukan kerana digosok kuat, tetapi kerana keadaannya sudah sesuai," kongsinya.
Kadang-kadang, dalam hidup dan kesihatan, kita tak perlu melawan. Cukup sekadar memahami dan membetulkan asas.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
