'Rahim dah bocor!' Usus luka, apendiks pecah, wanita dakwa doktor silap pasang alat perancang IUCD, tak boleh bersalin normal lagi
PEMASANGAN alat kontraseptif dalam rahim atau intrauterine contraceptive device (IUCD) berubah menjadi mimpi ngeri bagi ibu ini apabila ia dipercayai menembusi rahimnya!
Jurusolek, Damia Asyikin Ayub, 27,berkongsi pengalaman memilukan itu di laman sosial, dia mendakwa doktor yang menjalankan prosedur pada 19 Disember lalu cuai hingga terpaksa menjalani pembedahan susulan dan mengakibatkan kecederaan pada beberapa organ lain.
Lebih menyedihkan, pada masa akan datang ibu muda itu tidak lagi berpeluang melahirkan zuriat secara normal!
Imbas kembali, Damia berkongsi pemasangan alat berkenaan di sebuah klinik kesihatan sangat menyakitkan.
"Ketika prosedur pemasangan, saya rasa perut hampir terburai perut kerana terlalu sakit.
"Tapi doktor cakap normal. Bagi saya sakit itu luar biasa sampai saya tidak boleh bangun. Doktor tersebut suruh masuk bilik imbasan untuk imbas alat itu di mana, tiba-tiba dia cakap ada kelainan, macam pelik. Dia suruh pergi X-ray untuk tengok IUCD itu.

"Apabila buat imbasan X-ray rupanya memang betul doktor salah pasang! Ya ALLAH, hancur hati aku bila tengok IUCD itu tertembus dinding rahim.
"Lepas itu, bila pergi semula ke klinik kesihatan itu, saya diminta rujuk kepada pakar kerana proses keluarkan semula tidak boleh dilakukan di sana," kongsinya.
Damia yang baharu selesai berpantang anak keduanya kemudian diminta ke Hospital Sultanah Aminah untuk bertemu dengan pakar dan proses mengeluarkan IUCD berkenaan.
Sakit bersalin pun belum hilang, ibu muda itu sekali lagi terpaksa menanggung perit apabila terpaksa menjalani pembedahan susulan kesilapan itu.
"Pakar kemudian membuat keputusan untuk buang IUCD yang salah dipasang itu.
"Saya perlu menjalani pembedahan 'tebuk' dan belah perut walhal ketika itu aku baharu habis pantang. Anak baharu dua bulan," titipnya pilu.
Tidak berpuas hati dengan dakwaan kecuaian, Damia membuat aduan dalam talian terhadap perkhidmatan doktor yang memasang alat berkenaan.
Selesai menjalani pembedahan selama pada 2 Januari lalu, Damia bagaikan tersentak apabila terpaksa menerima kenyataan tidak boleh melahirkan anak secara normal dan ada beberapa organ lain yang tercedera susulan pemasangan IUCD itu.
"Masuk bilik bedah pukul 4 petang, pukul 11 malam baru dipindahkan ke wad semula.

"Selepas sedarkan diri saja, doktor pakar terus cakap: “Puan, rahim puan bocor. Selepas ini puan sudah tak boleh bersalin normal seumur hidup. Appendiks puan pecah. Usus kecil dan usus besar puan luka, kami dah jahitkan.”
"Terus gelap dunia, tidak tahu perkataan yang hendak dituturkan. Disebabkan kecuaian orang lain dan percubaan untuk menyelamatkan orang lain, aku yang menanggung semuanya," kongsi Damia.
Ketika dihubungi SinarPlus, Damia meluahkan mengalami kesan emosi yang bukan kepalang. Apatah lagi apabila memikirkan kecederaan organ reproduksi itu tidak membolehkannya melahirkan secara vaginal pada masa hadapan.
Lebih menyentuh hati lagi, dia mendakwa doktor yang menjalankan prosedur pemasangan IUCD itu tidak pernah menghubungi, apatah lagi memohon maaf.
"Saya sangat trauma, rasa seperti gelap dunia ini kerana sebab sudah tidak boleh beranak normal dan organ dalaman rosak. Nasib baik tidak mati. Kalau hendak buat pilihan tentang kaedah merancang kehamilan dan memasang IUCD, seeloknya berfikir panjanglah kerana ia melibatkan nyawa.
"Saya ada anak kecil yang masih perlukan saya. Dengan perut yang terbelah, ditebuk, dijahit, saya tetap kena kuatkan diri untuk uruskan mereka.
"Sampai sekarang, tiada satu pun kata maaf. Tiada bertanya khabar. Seolah-olah apa yang jadi pada saya ini perkara kecil bagi doktor tetapi untuk saya, ini trauma seumur hidup.
"Lima hari empat malam di wad. Saman tetap saman disebabkan kecuaian dan kecacatan fizikal, demi hak saya dan emosi saya," luahnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Hadzrat Hussien Mion, ketika dihubungi Berita Harian mengesahkan menerima laporan wanita terbabit dan merujuk kes itu kepada Kementerian Kesihatan (KKM).
Beliau berkata, kes itu diklasifikasikan sebagai Rujuk Lain Agensi (RLA).
"Pengadu tampil membuat laporan polis kes berkenaan yang diklasifikasikan sebagai RLA dan kita merujuknya kepada KKM untuk tindakan lanjut
"Pada laporan itu, mangsa mendakwa mengalami komplikasi selepas menjalani prosedur pemasangan alat perancang keluarga IUCD di KK sebelum mendapatkan rawatan lanjut di HSA," katanya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ), Dr Mohtar Pungut @ Ahmad pula memaklumkan kes berkenaan kini dalam siasatan.
"Laporan sudah dibuat kepada pihak KKM untuk siasatan lanjut," katanya.
Sumber: Facebook, Berita Harian
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

