BERIKUTAN tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuatkuasa sejak 18 Mac lalu dan berkemungkinan sehingga Aidilfitri, rata-rata masyarakat mula runsing memikirkan tentang juadah yang wajib dihidangkan pada pagi raya.

Lemang, misalnya antara menu yang berada dalam carta utama. Ibarat tak lengkap raya tanpa lemang yang dinikmati bersama rendang ataupun serunding.

Bagaimanapun, memahami situasi kesukaran untuk mendapatkan lemang dalam tempoh PKP, segelintir individu mula mengambil inisiatif ‘membakar’ lemang di rumah dengan cara mudah.

Antaranya menggunakan tin minuman yang tidak digunakan. Namun begitu, tahukah anda tindakan sedemikian adalah tidak selamat dan menjejaskan kondisi kesihatan!

Menurut posting yang dimuat naik di laman sosial Facebook, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), tin sememangnya digunakan secara meluas sebagai salah satu teknik pembungkusan makanan atau minuman yang selamat.

“Tapi, tin berkenaan tidak dihasilkan untuk digunakan semula sebagai bekas memasak (makanan lain).

“Korang (anda semua) tahu tak sebenarnya memasak lemang di dalam tin minuman adalah tidak selamat,” jelas kenyataan KKM tersebut hari ini.

lemang bahaya

Iklan

Tambah kenyataan terbabit, dalam keseronokan  memasak pastikan kita sentiasa mementingkan keselamatan makanan kerana keselamatan makanan adalah tanggungjawab bersama.

“Jika masakan tak jadi, boleh post dalam group Facebook, tetapi kalau masakan TAK SELAMAT, boleh membahayakan kesihatan,” tegasnya.

Dalam pada itu, pihak KKM turut berkongsi impak yang bakal dihadapi sekiranya masyarakat masih tegar memasak lemang di dalam tin. Ia terdiri daripada:

Iklan

– Tin minuman tidak selamat digunakan semula untuk memasak makanan.
– Bahan makanan yang dimasak akan bertindak balas dengan bahan kimia di dalam tin pada suhu panas.
– Ada risiko tinggi untuk berlaku pencemaran kimia pada makanan.
– Makanan yang tercemar dengan bahan kimia berlebihan boleh membahayakan kesihatan.

Foto: steelguru, KKM