Wanita ceroboh tol cetus amarah ramai, ini tindakan boleh dibuat jika ternampak

PENCEROBOH tol adalah merujuk kepada pemandu yang menggunakan lebuh raya tanpa membayar tol yang telah dikenakan ke atas kenderaan mereka.

Walaupun sebelum ini ada banyak rakaman dashcam mengenai kejadian pencerobohan tol yang tular, kita jarang mendengar jika ada sebarang tindakan yang diambil ke atas mereka.

Namun kali ini, seorang wanita yang memandu kereta Mercedes-Benz A-Class dikenal pasti sudah 45 kali mengelak untuk membayar tol.

Wanita berkenaan ditahan ketika mengelak membayar tol semasa melalui lebuh raya milik Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (PROLINTAS).

Menerusi beberapa ciapan di Twitter PROLINTAS, pemandu wanita terbabit dikesan culas membayar tol sehingga kini tertunggak sebanyak RM275.65.

“Kereta mewah 45 kali culas tol, ditahan. Dah 2023 perangai masih tak berubah. Lagi pengguna culas bayar tol ditahan.

“Cuba teka, kali ni kereta apa pulak yang kantoi? Amboi berani betul sister (wanita) ini,” ujarnya.

Baca juga  “Ibu bapa tiada gantinya”- Isteri kerap balik kampung, lelaki mualaf baru tahu punca lebuh raya sesak tiap kali cuti

Gambar fail.Menurut PROLINTAS, wanita itu bagaimanapun menyelesaikan semua tunggakan berkenaan serta-merta.

Bagaimanapun, kejadian tersebut cetus amarah ramai, ada yang mencadangkan penceroboh sepatutnya didenda membayar berganda.

“Sepatutnya kereta yang culas tol ini kena bayar denda sekali, tiga kali ganda (denda) contohnya.”

“Patut suruh dia bayar 10 kali daripada amaun asal, plus (termasuk) penjara semalam. Baru ada akal.”

Justeru, PROLINTAS mengingtkan kepada semua pemandu supaya tidak meniru aksi tidak bermoral itu kerana ia bukan saja dianggap menceroboh, malah membahayakan kenderaan lain.

Baca juga Bukan kerana ‘content’, konvoi kereta mewah berhenti tengah lebuh raya tidak puas hati dilanggar

Sementara itu, ini cara untuk kenal pasti jika anda sedang berhadapan dengan penceroboh tol, macam mana nak laporkan kepada pihak yang berwajib dan apa hukuman yang bakal diterima mereka.

1. Ekori kenderaan hadapan dengan sangat rapat

Bila nak lalu plaza tol, cuba perhatikan kenderaan di belakang anda. Kalau kenderaan tersebut mengikut belakang kereta anda dengan terlampau rapat, besar kemungkinan pemandu tu sedang cuba nak elak daripada membayar tol.

2. Pecut laju semasa keluar tol

Selain daripada mencucuk rapat, penceroboh tol juga akan memecut laju semasa keluar daripada plaza tol.

Selalunya palang tol akan mengambil sedikit masa sebelum diturunkan, ini kerana ia mempunyai sensor yang akan memberitahu palang untuk turun sepenuhnya hanya selepas sesebuah objek melepasi tol tersebut.

Apabila pemandu di belakang mengekori dengan rapat sambil memecut laju, sensor palang akan menganggap bahawa ada satu objek yang sedang melalui tol, dan ini memberi peluang kepada penceroboh tol untuk lolos dari plaza tol tanpa perlu membayar tol.

Apa perlu buat bila jumpa penceroboh tol?

Hubungi pihak lebuh raya

1. Jika anda terserempak penceroboh tol di plaza tol atau pernah menjadi mangsa mereka, anda disarankan untuk menghubungi pihak lebuh raya untuk melaporkan kejadian tersebut.

Iklan

2. Anda boleh mendapatkan nombor-nombor bagi lebuh raya yang berkenaan di laman web Lembaga Lebuhraya Malaysia.

3. Untuk membuat laporan, anda perlu memberikan butiran berikut bagi membantu semakan oleh pihak lebuh raya;

  • Nombor pendaftaran kereta
  • Masa
  • Tarikh
  • Lokasi
  • Hantar rakaman dashcam

Lebih senang kalau nak buat laporan mengenai penceroboh tol kalau anda ada pasang dashcam di dalam kereta.

Rakaman dashcam boleh dijadikan sebagai bahan bukti mengenai kejadian tersebut dan anda juga boleh mendapatkan butiran kereta pelaku melalui rakaman yang anda ada.

Hukuman bagi penceroboh tol

Pada ketika ini, mereka yang melakukan pencerobohan tol dan mengelak daripada membayar tol boleh didakwa bawah Seksyen 8 Akta Jalan Persekutuan 1984 (Pengurusan Persendirian), yang akan mengenakan hukuman denda antara RM2,000 dan RM5,000 jika disabitkan kesalahan.

Tambahan pula, berdasarkan laporan daripada paultan.org, mengelak daripada membayar tol bakal menjadi kesalahan jenayah apabila kerajaan mula menggunakan sistem tol tanpa palang dengan Aliran Bebas Pelbagai Lorong (MLFF) pada tahun 2025 nanti.

Sistem MLFF ini akan menggunakan gantri yang akan mengutip bayaran melalui sistem identifikasi frekuensi radio (RFID), yang berfungsi bersama sistem pengecaman plat nombor automatik (ANPR) selain dilengkapi dengan kamera untuk membaca nombor pendaftaran kereta dan juga mengenal pasti muka pemandu di dalam kenderaan.

Iklan

Baca juga Setelah 6 tahun, kini laluan dibuka untuk orang ramai. 9 fakta berkaitan lebuh raya tertinggi di Malaysia

Setakat ini, masih belum ada lagi berita lanjut mengenai undang-undang baharu ini. Tetapi anda harus sentiasa peka semasa merancang perjalanan untuk memastikan pemanduan yang lebih lancar dan selesa.

Sentiasa pastikan kad Touch n’ Go atau akaun RFID anda mempunyai baki yang mencukupi sebelum memulakan perjalanan.

Kebanyakan lebuh raya kini tidak lagi membenarkan perkhidmatan tambah nilai dilakukan di mana-mana lorong plaza tol.

Jadilah pengguna lebuh raya yang berhemah. Bila nak guna lebuh raya, kenalah bayar tol.

Sumber: PROLINTAS, carsome

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah yang menginspirasikan.