JIKA sebelum ini trend ke gym lebih popular dalam kalangan golongan lelaki, namun kini golongan wanita juga dilihat semakin ramai ke gym. Memang bagus kerana wanita juga boleh mendapat banyak manfaat.

Sekiranya ditanya pada mana-mana wanita sekali pun, pasti semua mahukan bentuk badan yang kurus, langsing dan cantik.

Namun, tak semua wanita ke gym hanya untuk miliki badan cantik sahaja, ia lebih kepada menjaga kesihatan dalam masa sama menjalani gaya hidup sihat.

SH: Bagaimana wanita boleh kelihatan lebih cantik?

Untuk mencapai matlamat mendapatkan badan yang lebih cantik,golongan wanita perlu membina otot dan membakar lemak. Bagi mendapatkan kedua-dua komponen ini, mereka perlu berlatih dengan bebanan.

Tiada beza dengan latihan yang dilakukan oleh golongan lelaki. Mungkin yang berbeza hanyalah beban yang digunakan atau intensiti latihan.

Jenis latihan dan senaman yang perlu dilakukan sama sahaja. Anda perlu berlatih dengan intensiti yang bersesuaian untuk satu tujuan iaitu menjadi lebih kuat secara tidak langsung mampu membina otot dan membakar lemak.

Takut kelihatan besar

Melakukan senaman dengan mengangkat beban tidak menjadikan anda besar atau sado seperti ahli bina badan. Anda tidak akan menjadi besar seperti lelaki kerana struktur fisiologi wanita dan lelaki juga berbeza.

Profil rembesan hormon turut berlainan. Hormon yang penting untuk membina otot adalah testosteron manakala wanita mempunyai profil rembesan testosteron yang rendah, bukan seperti lelaki.

Bukan itu sahaja, untuk menjadi besar, anda perlu makan banyak. Kebanyakan daripada anda berasa anda sudah makan banyak tetapi lihat ahli bina badan yang besar-besar dan cara mereka makan, itu sebenarnya definisi makan banyak! Sehari mencecah 7000-8000kcal sehari dan mungkin lebih. Anda yang makan bawah 2000kcal tiada apa yang perlu dirisaukan.

Iklan

Makan banyak haruslah juga berada dalam perimeter yang betul dan mengikut panduan pemakanan sihat. Untuk membina otot, anda perlu makan banyak tetapi bukan sebegitu banyak seperti ahli bina badan profesional.

Selalu yang kurang dimakan oleh golongan wanita ialah protein. Protein sebenarnya sangat penting untuk bina otot dan bakar lemak.

Belajar asas pemakanan yang betul dan cara untuk membina otot. Pemakanan anda tidak jauh berbeza dengan pecahan pemakanan ahli bina badan, cuma kurang dari segi kuantiti sahaja.

Iklan

Kalau mereka makan tinggi protein, anda juga begitu. Karbohidrat turut berperanan untuk membekalkan tenaga supaya anda boleh bekerja berat dalam gym nanti.

Jadi saranan Sinar Plus, buat persediaan awal untuk jaga badan dan juga kesihatan. Jangan tunggu sakit, baru nak workout atau berlari. Persepsi itu silap. Jadikan workout sebagai gaya hidup anda. Jangan sesekali amalkan pengambilan ubat kurus yang dijual di laman sosial, kita tak tahu kesan sampingan dan kandungannya.

Bagi Sinar Plus, lebih baik kesannya lambat asalkan kita sihat dan selamat. Jaga badan sangat penting. Buat wanita yang sudah berumah tangga pula, suami mesti nak tengok anda dalam keadaan cantik sentiasa. Jadi sayangi badan anda dan jaga kesihatan demi hidup yang lebih baik.