SEPERTI ramai sedia maklum, jemaah yang ingin menunaikan solat berjemaah di surau dan masjid perlu diwajibkan membawa sejadah sendiri yang merupakan salah satu daripada prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan pihak kementerian.

Namun begitu, mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Perintah Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan bersetuju untuk tidak lagi mewajibkan individu yang ingin menunaikan solat berjemaah di masjid membawa sejadah sendiri.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, penggunaan sejadah sendiri adalah digalakkan dan pemakaian pelitup muka masih diwajibkan.

Warganegara asing boleh tunai solat berjemaah, pelapik kertas pakai buang ganti sejadah

Menurut beliau, kelonggaran itu berkuat kuasa hari ini dan mengambil kira keluhan individu yang tidak dibenarkan masuk untuk solat berjemaah di masjid gara-gara terlupa untuk membawa sejadah.

“Saya ingin berterima kasih kepada imam dan jawatankuasa masjid kerana tegas dalam memastikan SOP (prosedur operasi standard) dipatuhi sepenuhnya,” katanya.

Ismail Sabri berkata, jawatankuasa masjid dibenarkan menjual pelitup separuh muka tiga lapis kepada jemaah yang terlupa memakai pelitup separuh muka dengan harga yang ditetapkan kerajaan.

Iklan

Masjid juga boleh menyediakan pelapik kertas pakai buang untuk menggantikan sejadah, katanya.

Iklan

Selain itu Ismail Sabri berkata, mesyuarat khas itu juga bersetuju untuk membenarkan warganegara asing menunaikan solat secara berjemaah di masjid bermula 1 Sept ini.

Bagaimanapun, mereka perlu mematuhi SOP ditetapkan termasuk mendaftar sebelum dibenarkan masuk ke dalam masjid.

“Manakala kebenaran adalah tertakluk kepada pihak masjid yang perlu mengikut kapasiti dibenarkan dan mematuhi penjarakan fizikal,” katanya.