TRAGEDI kanak-kanak hilang semasa keluar bersendirian atau bersama keluarga di tempat awam lazim berlaku dalam kalangan masyarakat kita bukan?

Sebelah pagi semalam, seorang lagi kanak-kanak perempuan berusia 6 tahun hilang. Begitupun, dia berjaya ditemui oleh Team Pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan Ibu Pejabat Polis Darah (PKPP IPD) Manjung yang sedang buat rondaan di Teluk Batik, Lumut, Perak.

Kongsi Polis Daerah Manjung di Facebooknya, dalam kejadian kira-kira jam 11.00 pagi itu, kanak-kanak perempuan berkenaan dilihat merayau-merayau seorang diri dalam ketakutan di sekitar Teluk Batik.

Team Pematuhan PKPP telah membuat hebahan di sekitar Teluk Batik berkaitan kanak-kanak tersebut. Hampir 20 minit di lokasi, bapa kepada kanak-kanak perempuan tersebut tampil mendapatkan anaknya semula.

Syukurlah si kecil itu dapat ditemui!

Kanak-kanak itu dipercayai terpisah daripada ahli keluarganya yang berada di kawasan berhampiran lokasi kejadian.

Dalam pada itu, Polis Daerah Manjung, menasihatkan agar sentiasa memantau pergerakan anak-anak yang sedang bermain di tempat awam atau orang ramai agar tidak berlaku sesuatu yang tidak diingini kemudian hari.

Ramai ucap tahniah dan bersyukur dengan penemuan semula kanak-kanak itu. Tidak kurang yang berharap ibu bapa mempunyai anak kecil lebih berhati-hati ketika membawa mereka keluar rumah di tempat awam.

Antara komen warganet:

Baguslah dapat jumpa atas darat . Macam kes dulu anak hilang masa mandi di tandas awam . Sedar² jumpa terapung atas laut . Allahuakbar

Alhamdulillah..tahniah Team Pematuhan PKPP IPD Manjung..semoga menjadi iktibar buat ibu bapa supaya lebih berhati2 n bertanggungjawab terhadap anak2 masing2..

Alhamdulillah… Sentiasa la pantau anak²..bab kini tgk org ramai pun dah byk g jln² bwk anak jgn kata teluk batik atau. . Lumut ke.. Dimana pun, jgn la biar anak kecil berjauhan dr anda.. 👍👍

Nasib baik ade team pematuhan PKPP jaga adik tersebut. Kalau tidak tak taw la mana hilang nanti.

Alhamdulillah.. selamat..semoga menjadi pengajaran kepada semua..
Semoga kita semua dilindungi dan dipelihara oleh Allah s.w.t..

 

Petua keselamatan

Ramai ibu bapa bimbang untuk menjaga keselamatan anak-anak mereka di tempat awam.

Berikut petua keselamatan yang dicadangkan untuk menjaga keselamatan si kecil ketika keluar rumah atau di tempat orang ramai.

1. Sentiasa memerhatikan mereka

Anak-anak kecil mempunyai rasa ingin tahu yang mendalam tentang dunia di sekeliling mereka dan keinginan meneroka.

Sebaiknya semasa keluar membeli-belah, di taman hiburan, atau di tempat awam, perhatikan si kecil itu setiap masa. Sekiranya mereka terdedah untuk ‘merayau’, lebih baik jika seseorang dalam keluarga terus melakukan hubungan fizikal, seperti berpegangan tangan.

2. Sentiasa berwaspada

Tanyakan mengenai langkah-langkah keselamatan di sekitar kawasan. Ini asas ketika hendak ke mana saja. Sentiasa berwaspada!

3. Ajar tidak bercakap dengan orang tak dikenali

Ajar anak agar tidak pernah masuk ke dalam kereta atau pergi bersama orang yang tidak dikenali oleh — walaupun orang asing itu bertanya “nampak tak di mana anak kucing yang hilang” berhampiran kereta mereka.

Latih anak kecil untuk mengatakan “tidak!” dan bergerak secepat mungkin, dengan kuat menjerit meminta tolong.

4. Zon selamat – Meeting place

Anak harus tahu untuk selalu memberitahu anda tentang dirinya yang didekati oleh orang asing. Biarkan si anak tahu bahawa dia tidak akan menghadapi masalah, dan anda akan melindunginya dari bahaya dan dalam zon selamat.

Pesan awal-awal… ‘jika tak jumpa mama atau daddy’ kita jumpa kat sini, jangan pergi mana-mana’.

5. Alat & Teknologi

Iklan

Tidak ada ibu bapa yang ingin mempertimbangkan kemungkinan anak hilang. Akan tetapi, mempunyai maklumat yang baik untuk membantu mengenal pasti dan mengesan anak dengan tepat sekiranya diperlukan adalah penting.

Gunakan aplikasi seperti Missingkids.org mempunyai kit ID Anak yang boleh disimpan oleh ibu bapa di rumah.

Telefon bimbit dapat membantu ibu bapa untuk terus berhubung dengan anak-anak dengan memeriksa keberadaan melalui panggilan telefon, teks, dan aplikasi pencari rakan.

Ajar anak-anak anda untuk tidak memberikan tetapan lokasi mereka dengan pelbagai aplikasi dan orang lain.

6. Pakaikan anak baju cerah

Baju yang cerah memudahkan anda mengesan mereka ketika tidak dapat dikesan di tempat ramai orang.

7. Ajar anak ingat pesanan penting

Suruh mereka ingat misalnya:
– Orang dewasa tidak akan meminta tolong kanak-kanak, jadi jangan tolong orang yang tidak dikenali
– Jangan minta tolong pada lelaki atau wanita yang berjalan seorang diri
– Jika tidak berjumpa ibu bapa, hanya mintak tolong pada orang tertentu seperti ibu yang sedang membawa anak atau pengawal keselamatan

8. Tangkap gambar terkini anak

Sebelum keluar bercuti boleh tangkap gambar terkini anak anda dahulu

Iklan

9. Jangan tinggalkan anak berseorangan

Jangan biarkan anak kecil berseorangan walaupun ibu bapa terpaksa membawa mereka sekali ke bilik ‘kecil’ awam untuk melepaskan hajat!

Pandai-pandai cover di dalam tu…huhu

10. Label di tubuh

Cara ini agak ‘sadis’ sedikit. Ibu bapa boleh gunakan marker pen. Tuliskan terus nombor telefon untuk dihubungi sama ada di lengan atau baju anak anda.

Biasanya masa rombongan sekolah anak, guru pengiring akan gantungkan tali dengan name card boleh nampak ada nama, nombor untuk dihubungi dan alamat sekolah

Mungkin cara ini boleh ditiru. Moga bermanfaat. -AG #janganputusasamalaysia

Sumber olahan: American Academy Of Padeatrics & my.theasianparent.com/

Foto: Polis Daerah Manjung