TERDAHULU, kerajaan melalui Program e-Tunai Rakyat telah mengagihkan RM30 kepada setiap orang yang layak melalui e-dompet seperti yang telah dilaksanakan awal januari lalu.

Usaha tersebut pastinya akan menyumbang kepada masyarakat tanpa tunai dan membantu rakyat Malaysia terutamanya dari kumpulan B40 dan M40 membiasakan diri dengan pembayaran elektronik.

Pembayaran tanpa tunai menjadi amalan masyarakat di negara maju dan apabila Malaysia bergerak ke arah itu, rakyat dan peniaga juga perlu mempertimbang kaedah pembayaran tanpa tunai.

Menurut penemuan terbaharu daripada Kajian Pembayaran Pengguna Visa, para pengguna menyokong usaha tersebut.

Lebih tujuh daripada sepuluh rakyat Malaysia menyokong cita-cita negara untuk menjadi masyarakat tanpa tunai dan 62 peratus percaya matlamat ini boleh dicapai dalam tempoh lima tahun akan datang.

Menurut pengguna, tiga manfaat utama yang ditawarkan oleh masyarakat tanpa tunai termasuk menjejak rekod kewangan dengan mudah, mengelakkan kerenah beratur di bank dan menjadikan negara lebih cekap.

Kajian ini mendapati bahawa 69 peratus daripada responden Malaysia bercadang menggunakan kaedah pembayaran tanpa tunai lebih kerap dan beralih daripada penggunaan tunai.

Trend ini lebih jelas dalam kalangan golongan mewah, dengan 77 peratus menyatakan minat mereka untuk berbuat demikian.

Pengurus Negara Visa Malaysia, Ng Kong Boon berkata, faktor utama bagi peningkatan penggunaan pembayaran digital ialah kemudahan dan tahap penerimaan pembayaran digital di negara ini.

Iklan

“Kami gembira untuk melihat peningkatan penggunaan kaedah pembayaran digital oleh rakyat Malaysia di negara ini, terutamanya pembayaran tanpa sentuh. Ini sejajar dengan data kami, yang menunjukkan hampir separuh daripada pembayaran bersemuka Visa adalah bayaran tanpa sentuh.

“Di samping itu, Malaysia adalah salah satu daripada negara yang paling pantas berkembang di Asia Pasifik dari segi tahap penembusan pembayaran tanpa sentuh dan kami yakin pertumbuhan ini akan diteruskan sambil kami menceburi segmen kategori peniaga baharu,” katanya.
Di samping itu, hampir dua daripada lima responden menyatakan mereka membawa jumlah wang tunai lebih kecil berbanding dua tahun lepas.

Iklan

69 peratus daripada responden berkata, ini kerana semakin ramai peniaga yang menerima pakai kaedah pembayaran tanpa tunai dan 65 peratus berkata hal ini demikian kerana mereka bimbang membawa wang tunai.

Bukan itu sahaja, pembayaran kad tanpa sentuh juga semakin diterima di Malaysia. Berasaskan kajian, 65 peratus responden Malaysia telah menggunakan pembayaran tanpa sentuh, dan 85 peratus daripada mereka membuat bayaran tanpa sentuh sekurang-kurangnya sekali seminggu.

Tahniah! SinarPlus percaya pembayaran tanpa tunai yang menjadi amalan masyarakat di negara maju tidak lagi asing di Malaysia.