NASI sejuk semalaman sering kali diketepikan. Kebanyakan daripada kita lebih suka menikmati nasi panas-panas kononnya lebih berselera. Seeloknya nasi sejuk jangan dibazirkan kerana ia mempunyai pelbagai kelebihan dan khasiat.

Ahli kimia, ChM Dr Fatimah Salim menerangkan nasi berlebihan yang sudah sejuk, selain dari dibuat nasi goreng, boleh buat macam-macam jika kreatif.

Baca juga: Sedapnya, ibu perlu tahu 7 sebab kenapa perlu beri anak air kelapa setiap minggu

“Boleh buat apam nasi, lempeng, blend buat bubur, cekodok, nugget, goreng buat inti popia, campur telur dadar, kukus atau renjis dengan air dan panaskan dalam microwave makan seperti biasa. Ada yang rajin keringkan dan goreng buat bepang atau bertih.

Kredit foto: Unsplash (Pille R. Priske)

Baca juga: Ayam bakar guna perencah nasi goreng, mudah, sedap dan jimatkan masa

“Kebetulan cerita pasal nasi semalam atau nasi sejuk, jom baca info yang saya pernah kongsikan dulu pasal rendah indeks glisemik nasi yang sejuk jika dibandingkan nasi baru masak.

“Tahukah anda nasi yang disejukkan akan berkurangan nilai kalorinya?” kongsinya.

Berikut 15 fakta mudah faham mengenai nasi sejuk:

1-Asasnya, beras mengandungi karbohidrat berstruktur komplex (atau kanji) iaitu amylose dan amylopectin. Kedua kanji ini terbentuk daripada rantaian gabungan ratusan ribu molekul kecil glukosa.

2-Semasa memasak nasi, kedua molekul kanji ini akan mengalami proses pengelatinan melalui tindakbalas air dan haba. Iya, inilah proses perubahan rupa dan tekstur beras kepada nasi. Proses pengelatinan ini penting untuk proses pencernaan supaya mudah dicerna oleh enzim dalam sistem penghadaman kepada karbohidrat ringkas iaitu glukosa.

3-Molekul glukosa inilah yang akan diserap ke dalam darah. Semakin banyak molekul glukosa yang berjaya terhasil semasa pencernaan kanji, semakin banyak molekul glukosa yang akan berjaya diserap ke dalam badan, semakin tinggi indeks glisemik.

4-Indeks glisemik merujuk kepada kepekatan glukosa dalam darah setelah makan (postprandial glucose level). Proses pencernaan karbohidrat bergantung kepada saiz makanan, jenis masakan, saiz suapan, daya kunyahan dan proses pencernaan dalam mulut oleh enzim amylase serta dalam usus kecil oleh enzim alpha-glucosidase. Namun, faktor yang paling utama ialah sifat kimia dan fizikal komponen kanji yang terdapat dalam makanan berkenaan.

Baca juga: 7 makanan pencair kahak anak, mak-mak pastikan ada di rumah

Gambar hiasan (Kredit foto: Freepik)

5-Dapatan kajian membuktikan menyejukkan nasi sebelum memakannya dapat menukarkan sifat kanji kepada kanji degil (resistant starch) yang bermaksud sukar untuk dicernakan oleh enzim pencernaan.

6-Ini kerana, apabila nasi disejukkan, kanji akan mengalami proses penyusunan semula struktur rantaian molekul glukosanya menjadi lebih padat daripada struktur kanji yang asal. Proses ini dikenali dengan retrogradation.

7-Keadaan ini akan menyebabkan proses pencernaan menjadi lebih sukar di mana susah bagi enzim tadi untuk memecahkan kanji kepada molekul kecil glukosa.

8-Dengan berkurangnya molekul glukosa yang terhasil, maka berkuranglah molekul glukosa yang diserap ke dalam darah. Dengan itu kesan glisemik rendah dan hasil kalori kurang ke atas badan.

9-Apakah yang berlaku kepada kanji degil ini? Disebabkan kanji degil ini tidak mampu dicernakan oleh enzim yang berkaitan dalam sistem penghadaman, maka ia akan ditolak ke dalam usus besar dan akan difermentasi oleh bakteria di sana.

10-Proses penguraian oleh bakteria ini akan menghasilkan gas hidrogen, metana dan asid lemak. Asid lemak akan digunakan oleh badan manakala gas hidrogen dan metana ini jika tidak dikeluarkan (dalam bentuk kentut) boleh menyebabkan kembung atau orang lama panggil dengan istilah angin.

Baca juga: Berita baik! Kolesterol tinggi minum air halba, saintis ajar mudah rendam dalam air panas, namun perlu hati-hati

Iklan
Gambar hiasan (Kredit foto: Pexels)

11-Menariknya sesetengah individu tidak terkesan dengan pengumpulan gas kerana kepelbagian jenis bakteria dalam usus besar mereka. Semasa proses penguraian, jenis bakteria yang berlainan akan menghasilkan bahan kimia gas yang berlainan.

12-Bahan-bahan kimia gas ini akan bertindak balas sesama sendiri dan saling meneutralkan. Maka, tiadalah gas yang terkumpul, tidaklah akan kembung.

13-Disebabkan rendah indeks glisemik, nasi sejuk bagus untuk mengurangkan risiko kencing manis dan kegemukan. Namun, individu yang menghadapi masalah ‘kembung’ tidak digalakkan disebabkan kebarangkalian pengumpulan gas dalam usus besar.

14-Paling penting adalah jumlah hidangan harus diambil kira untuk mendapatkan kesan ini. Walaupun makan nasi sejuk, jika kuantiti yang diambil adalah banyak, tiada manfaatnya.

15-Nasi sejuk yang dimaksudkan ialah nasi yang tidak basi ya. Cara untuk menentukan nasi sudah basi atau belum ialah dengan melihat perubahan dari segi rupa, warna, tekstur dan rasa.

Wah, banyak kelebihan nasi sejuk rupanya. Nasi tak berdosa, tak perlu ‘buang’ dari menu nak kurus. Jadi bermula dari hari ini penulis akan sejukkan dulu nasi sebelum makan untuk berdiet.

Semoga bermanfaat!

Iklan

Baca juga: 7 jenis sayur paling tinggi khasiat, setiap wanita wajib ambil

Sumber: Dr Fatimah Salim

Kredit foto utama: Freepik

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.