KEDAI-KEDAI di bandar Wuhan, China yang mana pusat tercetusnya penularan wabak yang dikenali dunia sebagai Covid-19 kini sudah mula beroperasi sejak Isnin lalu.
Namun, disebabkan tempoh ‘lockdown’ yang memaksa orang ramai duduk di rumah selama tempoh dua bulan, rata-rata pelanggan kini masih kekok untuk keluar membeli belah.
Sekitar 70 hingga 80 peratus kedai di pusat beli-belah Chuhe Hanjie di Wuhan dibuka pada Isnin lalu tapi masih mengehadkan bilangan pengunjung yang boleh memasuki kedai pada satu-satu masa.
Setiap pelanggan juga perlu mematuhi garis panduan yang ditetapkan ketika membeli belah seperti :
  1. Memakai mask (topeng muka).
  2. Jaga jarak dengan pelanggan lain ( 1 meter).
  3. Tidak dibenarkan membeli belah secara berkumpulan.
  4. Tempoh membeli belah juga perlu dihadkan dan dipercepatkan.
  5. Perlu melalui saringan suhu sebelum masuk ke kedai.
Malah, cecair pembasmian kuman dan proses saringan suhu badan juga dilakukan sebelum para pelanggan boleh memasuki kedai.
Pelanggan juga perlu memakai topeng muka dan hidung selain mengikuti langkah-langkah yang ditetapkan.
Melalui laporan Daily Mail, menurut seorang pelanggan yang dikenali sebagai Kat, dia terlalu bersyukur dapat kembali berbelanja selepas menghabiskan masa di rumah pada satu jangka masa yang lama.
“Saya datang untuk membeli-belah kerana sudah duduk di rumah terlalu lama, saya sangat gembira sehingga saya merasakan hendak menangis,” luahnya.
Turut menyentuh perasaan adalah, sebuah skrin besar dengan paparan “Wuhan, Kami Kembali Semula, Terima Kasih” di luar pusat beli-belah tersebut.