PENTAS Istana Budaya bakal kembali meriah dengan pelbagai aktiviti seni persembahan sepanjang tahun ini dengan pelancaran Program Istana Budaya 2022 pada Selasa.

Sebanyak 12 program menarik daripada genre berbeza akan menghiasi pentas berprestij itu melibatkan program terbitan Istana Budaya sendiri dan produksi luar yang merangkumi produk teater, muzik dan tari.

Program terbitan Istana Budaya terdiri daripada Konsert Lagu Rakyat, Konsert Orkestra Simfoni Kebangsaan Peter & The Wolf and The Carnival of the Animals, Tari Sulur dan Nakasari, Ratu Kuning Langkasuka dan teater muzikal Jula Juli Bintang Tujuh.

Sementara program terbitan produksi luar pula ialah Konsert U.K’s Reunion 25 Tahun, Konsert Seniman Negara Datuk Seri Ahmad Nawab, 5th Malaysia Golden Global Awards (MGGA), Thunder – Kaleidoscope VI Drumming Festival 2022 serta tiga teater iaitu Antara Tiga, Tanjong dan Teater Muzika Moyang Salleh.

Antara program menarik yang bakal berlangsung di Istana Budaya sepanjang tahun ini. – FOTO: ISTANA BUDAYA

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Sri Nancy Shukri, ketika merasmikan program berkenaan berkata, usaha menghangatkan semula aktiviti seni persembahan pentas untuk tahun 2022 perlu dipergiatkan.

“Kewujudan ruang-ruang pementasan di Istana Budaya dapat memberi peluang pekerjaan serta kepuasan berkarya kepada penggiat seni, turut menyumbang ke arah kelangsungan ekonomi industri tersebut.

Iklan

“Istana Budaya juga perlu terlibat dengan penghasilan karya seni budaya bermutu dan mempunyai nilai estetika tinggi untuk produk teater, muzik dan tari yang mampu memberi tafsiran positif terhadap keunikan budaya tempatan,” katanya.

Iklan

Pada tahun lalu, Istana Budaya telah menerima penonton hampir 6,000 penonton untuk 11 program dalam tempoh lima bulan yang dibenarkan beroperasi berikutan pandemik Covid-19. Hasil pendapatan jualan tiket bagi tahun 2021 adalah sebanyak RM130,000.

(FOTO: ISTANA BUDAYA)