SELEPAS tujuh minggu ditayangkan di Astro First, filem arahan sutradara tersohor, Mamat Khalid iaitu 18 Puasa Di Kampong Pisang berjaya meraih kutipan sebanyak RM5 juta.

Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad berkata, filem tersebut masih mendapat sambutan memberangsangkan biarpun francais Kampong Pisang iaitu Kampong Pisang Musikal Raya Istimewa sudah mula ditayangkan di platform sama.

“Alhamdulillah, francais tersebut mendapat sambutan hangat dan ia terbukti apabila filem 18 Puasa Di Kampong Pisang berjaya meraih kutipan RM5 juta dan filem Kampong Pisang Musikal Raya Istimewa mencatat RM1juta dalam masa 4 hari ditayangkan.

“Terima kasih kepada pengarah Mamat Khalid, para pelakon dan produksi Enjit-Enjit Semut yang telah menghasilkan karya yang dilihat terus berjaya memenangi hati penonton.

“Kami harap dengan kejayaan ini, ia mampu menarik perhatian penonton yang masih belum menontonnya untuk melanggan dan menikmati hiburan dan terus kekal berada di rumah.

“Platform Astro First adalah pilihan terbaik buat penonton untuk menyaksikan filem tempatan terbaru yang menampilkan variasi genre filem seperti seram, komedi, muzikal, drama, romantik dan banyak lagi buat penonton.

“Terus kekal berada di rumah dan sama-sama kita putuskan rantaian penularan Covid-19,” katanya.

Iklan
Filem komedi ini turut menyaksikan penampilan istimewa Datuk Kazim Elias.

18 Puasa Di Kampong Pisang mengisahkan tentang sekumpulan penduduk Kampong Pisang masih melakukan kemungkaran di bulan Ramadan.

Ketika Barkoba menikmati makanan di siang hari dalam semak samun, tiba-tiba berlaku satu insiden. Dia telah didatangi si iblis dan membawa Barkoba kembali ke masa silam untuk mengimbau setiap tindak tanduk kesalahan yang dilakukan sepanjang hidupnya.

Iklan

Barkoba mengabaikan zakat, menganaiyai orang lain, mengajak melakukan kemungkaran serta menyebabkan kecederaan dan kematian Kiambang. Dapatkah Barkoba memperbetulkan kesalahannya yang lalu dan kembali ke dunia yang nyata? Berjayakah Barkoba menyelamatkan Kiambang?