SERAMAI 32 orang penggiat seni merangkumi penyanyi dan pemuzik tanah air yang memfaikan satu notis usul beserta afidavit bagi mendapatkan kebenaran Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi memfailkan saman untuk menuntut pembayaran royalti daripada badan pelesenan, Performers Rights and Interest Society of Malaysia Berhad (PRISM) Prism Berhad.

Notis usul dan afidavit tersebut difailkan melalui firma Tetuan Kamaruzaman Arif & Sofiah pada 9 September yang lalu dan ia merupakan tindakan mahkamah yang julung-julung kali dibuat penggiat seni tanah air.

Antara yang memfailkan notis usul dan afidavit itu adalah Datuk Jamal Abdillah, Datuk DJ Dave, Datuk J Sham, S. Atan, Aris Ariwatan, Ibnor Riza, Azharina, Ezlynn, Zaha Spring, Man Senoi, Renggo Arrow, Ali Terra Rossa, Ajin Blackrose, Norshila Amin, Nai Dinamik, Beego, Razis Ismail dan Leina Hangat.

Wakil Tetuan Kamaruzaman Arif & Sofiah, Datuk Kamaruzaman Muhammad Arif, berkata, berdasarkan perlembagaan Prism Berhad, bayaran royalti pelaku hendaklah diagihkan satu kali dalam tempoh setahun.

“Semenjak 2017 sehingga 2021, tiada sebarang pengagihan dibuat kepada penggiat seni terbabit sehingga kini walaupun dituntut.

“Tindakan ini adalah untuk mendapatkan satu pengisytiharan terhadap wang royalti yang dikutip. Jika wang kutipan tidak diagihkan dengan betul dan proses pengagihannya tidak mengikut peraturan yang sepatutnya, ia boleh disabitkan dengan kesalahan.

“Ini baru langkah pertama. Kita mahu mengesan mana perginya wang kutipan itu dan kenapa tidak diagihkan kepada mereka yang berhak. Jika duit itu habis, kemana ia pergi dan sekiranya dibelanjakan, siapa yang mengawal selia dan adakah perbelanjaan itu sah itu dari segi undang-undang.

“Kami juga ingin tahu bagaimana pengiraan royalti tersebut dibuat dan sistem apa yang diguna pakai,” katanya pada sidang media di Crystal Chambers, Shah Alam pada Selasa.

Tambah Kamaruzaman, pihaknya juga menolak sekiranya pihak defendan yang terlibat dengan isu royalti Prism Berhad itu ingin menyelesaikan di luar mahkamah.

Iklan

“Kami gunakan jalan perundangan untuk mendapatkan pencerahan dan jawapan kerana plaintif-plaintif ini mahu menuntut hak mereka dikembalikan.

“Agensi yang diamanahkan itu dilihat gagal mengagihkan royalti dalam tempoh lima tahun. Jalan penyelesaian terbaik adalah di mahkamah.

Iklan

“Ini bukan sahaja perjuangan 32 ahli yang bersetuju memfailkan notis usul dan afidavit tetapi turut memberikan manfaat kepada 1632 ahli Prism lain serta penggiat seni generasi baharu pada masa akan datang,” tegasnya.

Konflik royalti Prism tercetus selepas berlaku pertikaian perundangan antara Public Performance Sdn Bhd (PPM), Recording Industry Malaysia (RIM) dan Prism Berhad.

Berikutan itu Prism Berhad digulungkan melalui perintah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 2018 yang mengakibatkan segala urusan pentadbirannya dikawal selia Jabatan Insovensi Malaysia (MDI). Konflik tersebut turut menjejaskan pengagihan kutipan royalti dalam kalangan ahli Prism Berhad.