PEMINAT di Malaysia boleh menghela nafas lega apabila filem yang ditunggu ramai, The Witches akan mula ditayangkan buat kali pertama secara eksklusif menerusi platform penstriman HBO GO dan On Demand Astro pada Jumaat, 29 Januari ini.

Menerusi penayangan terus ke HBO GO, filem teatrikal yang diadaptasi daripada novel karya Roald Dahl dengan menggunakan judul sama itu memberi peluang penonton Malaysia untuk menikmati kisah klasik tersebut mengikut keselesaan di rumah terutama pada waktu pandemik yang mencabar ini.

The Witches digarap semula untuk penonton era moden oleh pengarah Robert Zemeckis dengan sentuhan lebih menarik.

Filem yang mengambil latar tahun 1960 itu menceritakan kisah seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun bersama neneknya menemui beberapa tukang sihir yang sangat glamor tetapi sangat jahat.

Ketika dia dan neneknya tiba ke pusat peranginan di tepi laut, ahli sihir Grand High Witch berada di tempat sama dengan menjemput kesemua kroninya dari seluruh dunia dalam keadaan meyamar. Mereka mahu melaksanakan rancangan jahat untuk mengubah kanak-kanak di dunia menjadi tikus.

Di sebalik kisah menarik filem itu, SinarPlus kongsikan lapan perkara menarik di sebalik tabir pembikinan The Witches.

1. Pesona Vintaj
Filem ini membawa penonton kembali ke zaman yang lebih sederhana pada tahun 1960an, jauh sebelum kehadiran telefon bimbit dan peralatan digital. Biarpun latar tempatnya berubah dari Eropah ke Alabama di Amerika Starikat, namun aura nostalgia dilihat pada cetakan bunga yang indah pada gaun yang digunakan, peralatan dapur yang diperoleh hampir semuanya dari selatan Amerika Syarikat dan lain-lain.

Gambaran yang dipaparkan itu begitu dekat dengan era tahun tersebut sehingga salah seorang pelakonnya, Octavia Spencer yang memegang watak sebagai Grandma mengakui set penggambaran itu begitu mengimbau kepada rumah neneknya sendiri.

2. Senibina lama
Gaya Antebellum dipaparkan di Grand Orleans Imperial Island Hotel di mana sebahagian besar ceritanya dirakam. Gambaran bangunan dengan tiang, balkoni dan gerbang besar yang ditampikan. Begitu juga dengan set bilik tidur Grand High Witch yang menggunakan cermin berlapis emas dan lampu dinding yang besar membangkitkan rasa mewah golongan bangsawan Eropah.

3. Gaya fesyen ikonik
Para ahli sihir tampil dengan pakaian kemas, glamor dan menawan. Aktress jelita, Anne Hathaway dalam peranan sebagai Grand High Witch itu mengetuai kumpulan ahli sihir dengan rambut persis sarang lebahnya, solekan mata tebal dan berbibir merah.

Penampilannya memberi penghormatan kepada ikon fesyen tahun 1960an, seperti Jackie O, Marilyn Monroe dan supermodel Sweden-Jerman Nena Von Schlebrügge.

Begitu juga dengan ahli sihir yang lain digayakan dengan sarung tangan, pakaian yang anggun dan kasut yang dipadan dengan rambut penuh gaya menjadikan penampilan mereka cukup sempurna.

4. Kuasa prostetik
Untuk menghasilkan penampilan dramatik seperti cakaran jari, kaki tidak berjari, rambut pelik dan sebagainya, produksi menggunakan khidmat pakar dalam bidang itu. Pasukan tersebut bertanggungjawab untuk menghasilkan pelbagai penampilan agar sesuai dengan rancangan jahat Grand High Witch.

Menariknya, sebanyak enam penampilan berbeza dibuat hanya untuk watak Hathaway, di mana ia merangkumi 17 topi, 22 pasang ‘back of hands’, 198 jari sambungan dan lapan pasang kaki hanya untuk karakternya sahaja. Bayangkan bagaimana mereka melengkapkan penampilan bagi semua 50 penyihir lainnya pula.

Aksi Anne Hathaway sebagai Grand High Witch dalam The Witches.

5. Kecantikan luar dan dalaman

Dalam karya-karyanya, Roald Dahl sering menghubungkan kaitan antara kecantikan dalaman dan luaran seseorang. Tidak terkecuali untuk karakter ahli sihir dalam filem ini.

Walaupun mereka semua kelihatan sangat cantik, mereka menyembunyikan kegelapan dalam hati. Malah untuk mencerminkan kegelapan dan kejahatan Grand High Witch, penampilan awalnya yang glamor secara beransur-ansur menjadi lebih gelap dan lebih gelap. Gaya rambutnya yang disikat tinggi ke belakang seolah-olah menampakkan tanduk jika dilihat dari sisi!

Iklan

6. Kesulitan pandemik

Kristin Chenoweth, yang memainkan karakter tikus Daisy, sebenarnya sedang menjalani perintah berkurung di New York ketika penggambaran berlangsung.

Oleh kerana tidak dapat berada di lokasi penggambaran, dia mengubah almari di rumah menjadi studio dengan dilengkapi komputer, tablet dan telefon bimbitnya sehingga mampu menghubungkannya dengan pengarah, penerbit dan animator.

Ini membolehkan mereka membincangkan wataknya dan bagaimana lakonan yang sepatutnya diberikan untuk karakter Daisy, agar para animator dapat relialisasikan watak itu dalam lukisan mereka dengan baik.

7. ‘Dos theez sound rhight?’
Pada asalnya, Grand High Witch sepatutnya bertutur dalam loghat Skandinavia, tetapi Hathaway merasa sangat sukar untuk menjadikan watak ini menakutkan dengan tone suara ringan dan muzikal.

Iklan

Sebagai gantinya, dia menggunakan ‘Old Norse’, yang dapat memberikan gambaran lebih tepat dan kedengaran menakutkan.

8. Kawan baik dalam dan luar penggambaran
Tidak seperti apa yang difikirkan oleh ahli sihir bahawa semua kanak-kanak harus diubah menjadi tikus dan dibasmi, Jahzir Bruno dan Codie Lei Eastick menunjukkan contoh terbaik untuk kanak-kanak apabila mereka berdua menjadi kawan dengan sangat pantas. Selain belajar bersama, mereka juga melepak pada waktu malam selepas setiap hari penggambaran berakhir.

The Witches membariskan pelakon seperti Anne Hathaway, Octavia Spencer, Stanley Tucci , Kristin Chenoweth, Chris Rock, Jahzir Kadeem Bruno, Codie-Lei Eastick dan lain-lain.

Muat naik aplikasi HBO GO dari App Store atau Play Store melalui peranti, selain boleh diakses menerusi Astro atau melalui pautan https://www.hbogoasia.my/.

(FOTO: Warner TV/HBO)