“Saya harap ini menjadi pengajaran kepada Mas Khan yang sebelum ini pernah saya anggap sebagai adik sendiri,” ujar penerbit, Datuk A Aida.

Ia susulan keputusan Majistret Ampang, Kuala Lumpur hari ini menjatuhkan hukuman denda RM17,000 atau penjara 26 bulan jika gagal membayar denda itu kepada pelakon Mas Khan, bagi kesalahan mencuri wallet mata wang kripto bernilai RM213,805 milik A Aida.

Menurut A Aida, beliau bersyukur dengan keputusan mahkamah dan berterima kasih kepada pihak polis kerana berjaya menyelesaikan kes tersebut.

“Saya juga berharap ia menjadi pengajaran kepada semua orang bahawa negara kita mempunyai undang-undang.

“Sesiapa sahaja yang berbuat perkara yang menyalahi undang-undang negara pasti akan menerima hukuman, cepat ataupun lambat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah A Aida, beliau tidak berdendam dengan Mas Khan dan turut berharap pelakon yang pernah membintangi beberapa buah drama dan filem di bawah syarikat produksinya, insaf.

“Sebagai orang Islam, saya tidak sesekali berdendam tetapi dalam masa yang sama, saya berharap dia insaf kerana dia masih muda dan punya masa depan yang panjang.

“Insya-ALLAH saya tidak ada masalah untuk saya mengambil dia bekerja di bawah produksi A. Aida Production selepas ini,” jelasnya.

Bagaimanapun demi menuntut ganti rugi atas kerugian yang ditanggung, A Aida akan meneruskan saman sivil terhadap Mas Khan selepas ini.

Iklan

“Atas nasihat peguam, saya akan teruskan dengan saman sivil terhadap dia selepas ini. Ia akan dibuat melalui peguam, Zulkifli Yong Azmi & Co untuk menuntut keseluruhan jumlah yang dicuri tersebut dan juga ganti rugi teladan faedah serta kos tindakan di mahkamah,” ujarnya.

Pelakon drama bersiri Gerak Khas itu sebelum ini dituduh mencuri wallet yang merupakan mata wang kripto milik Zaidah Awang, 50, atau dikenali sebagai A.Aida tanpa izin bernilai RM59,804.15 dan RM154,000.85 di Taman Ukay Perdana, Ampang, Kuala Lumpur, pada 5 pagi 7 Mac 2019.

Iklan

Bagi pertuduhan pertama, pelakon itu didenda RM7,000 atau penjara 12 bulan manakala, denda RM10,000 atau penjara 14 bulan untuk kesalahan kedua.

Bagaimanapun Mas Khan atau nama sebenarnya Mas Hidzir Khan Mas Fadzillah Khan, 26, menukar pengakuan bersalah semasa sebutan kali ketiga kes itu.