JENAYAH siber dan penyalahgunaan laman sosial bakal menjadi barah yang mengancam masyarakat terutama golongan muda jika ia dibiarkan berleluasa.

Orang ramai perlu memahami etika mengendali medium maya, termasuk mengambil gambar, menulis atau menyebarkan berita yang tidak terbukti kesahihannya sehingga ia mampu menimbulkan fitnah.

Buktinya sebelum ini pengarah dan pelakon popular, Syamsul Yusof menjadi mangsa perbuatan tidak bertanggungjawab itu apabila isu rumah tangganya dijadikan modal sensasi berita berbaur fitnah sebuah saluran YouTube.

Akibatnya, laporan polis telah dibuat dan tindakan undang-undang juga telah diambil oleh Syamsul terhadap saluran YouTube tersebut supaya menjadi pengajaran agar ia tidak berulang.

Malangnya kejadian seumpama itu sekali lagi berulang dan kini yang menjadi mangsa adalah pelakon Datuk Aaron Aziz.

Pelakon popular filem KL Gangster itu dikatakan berang dengan headline yang ditulis oleh sebuah blog dan nekad ingin melakukan laporan polis sekiranya artikel tidak diturunkan dalam masa tiga jam.

Amaran tersebut dibuat oleh Aaron melalui satu video yang dimuat naik di laman Instagram miliknya.

“Nak bagitahu blog ni korang nak buat tajuk pasal diri dan keluarga saya, jangan buat yang berunsurkan fitnah.

“Sekarang saya bagi amaran untuk turunkan artikel itu, kalau tak kau tengok apa yang berlaku.

“Jangan nak buat kelakar untuk buat orang baca blog bo***. Saya bagi amaran dan masa tiga jam, kalau tak turunkan saya buat laporan polis. Tengok la apa jadi,” katanya.

Namun, beberapa jam lalu, video amaran tersebut telah dipadam setelah blog tersebut akur dengan kesalahan yang dibuat dan bertindak memadam artikel yang disiarkan seperti apa yang diminta oleh Aaron.

Meski demikian, sebagai seorang yang profesional dan rasional, setelah blog tersebut akur dengan amarannya, Aaron juga tidak ingin memanjangkan cerita.

“Blog tu dah padam posting dia, aku bagi korang muka, korang bagi aku muka itu cara yang betul.

“Lain kali jangan nak buat tajuk-tajuk yang mendatangkan fitnah sehingga mampu mengaibkan orang dan jadikan perkara ini sebagai pengajaran,” katanya.