DARAH seni yang mengalir dalam tubuh artis versatil, Datuk AC Mizal, 49, kini diwarisi anak terunanya, Muhammad Reeve Damien, 18.

Lamaran syarikat rakaman Universal Music Malaysia menyunting anaknya yang selesa dipanggil Damien sukar untuk ditolak.

Penantian sekian lama juga cukup berbaloi biarpun harus menempuhi situasi tak terduga pandemik Covid-19 hingga melengahkan tempoh waktu perancangan asal single sulung berjudul Mine dilancarkan.

Lebih istimewa, Mine julung kali menyaksikan gandingan pertembungan dua generasi antara pengacara popular itu dengan anaknya.

“Segala serbi mengenai pembabitan dan perjalanan proses pembikinan lagu ini membuatkan saya teruja dan bangga.

“Semuanya dibuat dengan teliti dan ini single pertama yang menyatukan kami sehingga membuatkan saya tersentuh hati dan terharu. Tak pernah terjangka semua ini akan berlaku dan tersusun cantik.

“Penantian bertahun-tahun yang saya pendam dan harap, akhirnya direalisasikan. Akan datang saya berharap dapat membuat persembahan bersama Damien di atas pentas,” kata pemilik nama sebenar Mizal Zaini itu.

AC Mizal menyokong penuh minat anaknya untuk menyertai industri seni.

Tambah Ac, lagu ini juga memperlihatkan pertaruhan anaknya sebagai penerbit lagu, penulis lirik selain menyumbangkan vokal.

Mine yang bernuansa Pop R&B dan hip hop dicipta khas oleh Adam E, Freddie Laut dan ADL. Nukilan lirik pula gabungan idea Damien, AC di samping Adam E dan ADL.

“Lagu ini sepatutnya dilancarkan tahun lalu. Tetapi siapa mampu menebak, dunia diserang wabak Covid-19 hingga sekatan pergerakan dilaksanakan. Setahun juga menanti kerana perlu berdepan beberapa siri penangguhan.

“Lagu itu dirakamkan 3 Januari lalu. Manakala video muziknya pula dilunaskan penggambarannya pada 10 Oktober lalu.

“Saya serahkan tanggungjawab memberi nyawa untuk lagu ini kepada anak. Lagipun anak saya lebih arif dengan apa yang dirasakan sesuai pada zaman sekarang,” katanya yang kali terakhir tampil dengan lagu Itu Saja pada tahun 2017.

Impian jadi kenyataan

Sementara itu, Damien berterima kasih kerana impian yang ditunggu menjelma juga akhirnya.

Iklan

“Ia satu perasaan menakjubkan apabila impian yang dulu hanya angan-angan dapat direalisasikan. Saya mahu berterima kasih kepada bapa dan Universal Music kerana menjadikan ia sebuah kenyataan.

Damien mengagumi hasil kerja bapanya.

“Saya sendiri mengikuti kelas belajar vokal dengan bapa lebih enam bulan. Lega rasanya penantian itu akan membuka lembaran dan cabaran baru,” ujarnya yang sudah bermain gitar lebih lima tahun lalu.

Tambah Damien, dia berasa bersyukur dan dirahmati dapat sama sama bapa tersayang melengkapkan portfolio single berkenaan.

Akuinya, dia tidak pernah terlintas mengikuti jejak langkah bapa dan bercita-cita menjadi seorang juruterbang.

Iklan

“Hakikatnya adik saya yang lebih awal menunjukkan potensi dan bakat seninya. Saya pula ketika itu hanya bercita cita nak jadi ahli perniagaan atau juruterbang.

“Minat saya terhadap nyanyian bagaimanapun bercambah hari demi hari apabila berpeluang melihat rutin seni dan mula jadi berinspirasi dengan apa dilakukannya.

“Fasa awal, saya sejujurnya tak dapat menyembunyikan resah gelisah kerana tiada pengalaman. Tapi bapa banyak membantu dan buat saya rasa selesa serta tidak canggung. Tanpanya, semua ini tidak mungkin terjadi,” katanya.

Mine telah tersedia di semua platform penstriman digital sejak 10 Disember lalu manakala muzik videonya pula boleh ditonton di saluran YouTube Universal Music Malaysia.