Achey lihat sendiri pengorbanan guru berdepan pandemik Covid-19

A
A
A

PELAWAK terkenal, Achey dan syarikat pengeluar produk minyak wangi dan cecair pembasmi kuman, SugarBomb Worldwide Sdn Bhd telah menyumbangkan 10,000 cecair pembasmi kuman di sekolah-sekolah sekitar Lembah Klang baru-baru ini.

Menurut Achey atau nama sebenarnya Mohd Nasir Hamzah, 35, ia adalah sebahagian usaha mereka mencegah penularan pandemik Covid-19 menerusi program SugarBomb Care For You.

Cecair pembasmi kuman itu diserahkan untuk kegunaan guru dan pelajar tingkatan lima yang bakal mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia tidak lama lagi.

“Siapa tak gerun keluar rumah pada saat pandemik dalam tahap membimbangkan. Tiada simptom pun boleh positif Covid-19.

“Bagaimanapun saya melihat guru tidak pernah patah semangat apabila berkunjung ke PPD (Pejabat Pendidikan Daerah) Klang, baru-baru ini. Dalam keadaan bimbang, saya diberitahu mereka tetap menjalankan tugas dengan baik.

“Saya juga sempat berkunjung ke beberapa taska dan sekolah termasuk Sekolah Menengah Tinggi Klang. Saya lihat pihak sekolah menekankan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat. Saya tidak dibenarkan bertembung dengan pelajar ketika menyerahkan sumbangan.

“Apabila sampai ke sekolah, guru sendiri menunggu pasukan SugarBomb untuk memeriksa suhu badan dan sanitasi.

“Tanpa mengira sesiapa yang hadir, kena ikut SOP ketat. Paling utama, kena ada surat kebenaran menghantar cecair pembasmi kuman kerana tidak boleh memasuki sekolah sesuka hati,” kata Achey.

Turut sama menyertai program itu adalah Pengarah Urusan SugarBomb Worldwide, Ahmad Azhari Rosli dan maskot SugarBomb, Mr Bomb.

Antara sekolah yang menerima sumbangan termasuklah Sekolah Menengah Kebangsaan Meru, Sekolah Menengah Perempuan Kapar, Sekolah Menengah Tinggi Klang, Taska Sirajuddin, Taska Al Munawarrah, Taska Mawaddah dan Taska  Al Syabab.

Penyerahan cecair pembasmi kuman itu dilakukan mengikut SOP yang ditetapkan.

Berkongsi lanjut pengalaman semasa penyerahan itu, Achey berkata, dia perlu memakai pelitup muka dan sarung tangan ketika memasuki kawasan sekolah demi keselamatan pelajar.

Anggota kumpulan Bocey itu berkata, dia tidak kisah turun padang menghantar bantuan kepada sekolah pada saat pandemik menunjukkan angka tinggi.

“Kerja CSR ini lebih mencabar apabila dilakukan pada saat pandemik dengan penekanan norma baharu. Walaupun artis, tetap kena ikut SOP ketat.

“Saya turun padang bukan hanya kerana sebahagian kerja duta SugarBomb, tetapi inilah peluang saya mendekati dan mendengar luahan hati guru-guru.

“Sebagai public figure, saya perlu ada rasa tanggungjawab bagi membantu mencegah penularan Covid-19. Orang melihat petugas barisan hadapan berisiko tinggi, tetapi golongan guru juga sama.

“Kita seharusnya memberi sokongan kepada golongan sasaran tak kira siapa. Saya percaya, kita kena jaga kita,” katanya.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca