MENGAKUI pendapatannya terjejas dan wang simpanan semakin berkurangan disebabkan kekangan untuk keluar bekerja berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, selebriti versatil, Acong Sweetchild mencari inisiatif lain demi kelangsungan hidup.

Idea menghasilkan pai keju untuk dijual secara dalam talian oleh isterinya, Marya Zuraida, ternyata memberi harapan baharu kepada vokalis Sweetchild itu untuk menambah pendapatan.

Menurut Acong atau nama sebenarnya Ahmad Fauzi Manat, 48, dia tidak menyangka pai keju pelbagai perisa hasil air tangan isterinya itu, mendapat sambutan ramai.

“Saya berterima kasih kepada isteri kerana sama-sama cuba mencari jalan keluar daripada masalah kewangan ketika PKP kali ini.

“Kami berdua sering berbincang kerana sebahagian besar perbelanjaan harian kini menggunakan duit simpanan yang semakin susut.

“Apabila isteri bersemangat cuba menjual pai keju yang dipelajari daripada adik angkatnya, saya terus bersetuju dan alhamdulillah ia mendapat sambutan di luar jangkaan kami,” ujarnya yang turut menghantar sendiri barang jualan kepada pembeli.

Pertama kali berniaga secara dalam talian, Acong mengakui pada awalnya agak kekok dan bimbang sekiranya jualannya tidak mendapat perhatian orang ramai sebagaimana perniagaan secara fizikal.

“Sejak dulu lagi, saya tak pernah malu pun berniaga kecil-kecilan untuk mencari pendapatan tambahan demi keluarga.

“Cuma bezanya dulu saya berniaga secara fizikal dengan menghadiri pelbagai ekspo jualan sehingga ke Singapura untuk menjual Kerepek Pisang Tanduk dan Cendol Santan Sawit yang diusahakan bersama isteri dan ibu.

Iklan

“Ketika itu bila kita buka gerai jualan, memang orang terus datang serbu, tapi dalam talian situasinya berbeza. Jadi saya kena biasakan diri menggunakan pendekatan berbeza menarik pelanggan,” ujarnya yang menggunakan platform Instagram untuk mempromosikan produk jualannya.

Meluahkan rasa syukur apabila usaha tersebut membuahkan hasil, Acong berhasrat meneruskan perniagaan tersebut meskipun PKP berakhir nanti.

Iklan

“Dua PKP terdahulu saya hanya berharap kepada duit simpanan untuk menampung kehidupan. Apabila memasuki PKP ketiga, saya mula bimbang sekiranya keadaan itu berterusan, kami akan berdepan masalah kewangan yang teruk.

“Jadi saya kira perniagaan ini adalah permulaan yang baik untuk kami. Insya-ALLAH saya berhasrat untuk terus mengembangkan perniagaan ini meskipun akan kembali sibuk dengan kerja-kerja seni selepas ini.

“Sokongan peminat dan pelanggan terhadap jualan pai keju kami cukup dihargai, sekali gus memberi semangat baharu kepada saya untuk terus bekerja keras pada masa akan datang,” katanya.