SELEPAS berhijrah dan tampil berhijab, penyanyi hip hop popular, Zizi Kirana kelihatan lebih manis dan tenang.

Tidak hanya membawakan perihal yang positif pada penampilan dan pembawakan dirinya, pemilik nama sebenar Nur Fazelah @Zizie Mad Tahil juga cuba melakukan hal serupa kepada kerjaya nyanyian beliau.

Tidak hanya membawakan perihal yang positif pada penampilan dan pembawakan dirinya, pemilik nama sebenar Nur Fazelah @Zizie Mad Tahil juga cuba melakukan hal serupa kepada kerjaya nyanyian beliau.

Berpegang pada prinsip tersebut, penyanyi yang cukup dikenali menerusi lagu EH! Itu mengakui sentiasa mencari jalan tengah bagi memastikan karya dan persembahannya selepas berhijrah seiring dengan apa yang ditampilkan.

“Saya masih lagi orang yang sama anda kenali sebagaimana sebelum ini. Cuma semua orang mahu berubah untuk menjadi yang lebih baik. Begitu juga dengan saya.

“Sejak tampil dengan imej berhijab, saya akui banyak perubahan yang perlu dilakukan terutamanya ketika membuat persembahan di pentas. Ada batasan yang perlu dijaga berbanding sebelum ini.

“Bukan bermaksud sebelum ini saya begitu lincah dan bebas di pentas, cuma penampilan sudah berbeza dan jadi kenalah sesuaikan diri agar ia tidak nampak bertentangan dengan diri saya kini,” katanya.

Zizi yang ditemui ketika majlis sidang media pelancaran konsert Faztival Fazura 2022 itu juga menegaskan tidak akan menyanyikan lagu-lagu lama beliau yang mempunyai lirik yang dirasakan kurang bersesuaian dengan imejnya.

“Ada beberapa lagu lama saya yang mungkin saya tidak akan nyanyikan secara terbuka. Misalnya lagu Siapa Yang Bap Bap dan Nak Ke Tak Nak.

“Bagi saya, apabila saya sudah tampil berhijab, lebih baik saya memilih untuk menyanyikan lagu yang lebih bersesuaian.

“Saya rasa peminat faham dengan situasi saya ini. Penganjur juga faham dan selama saya sudah berubah, saya tidak lagi pernah diminta untuk nyanyi lagu-lagu lama yang tidak bersesuaian,” ujarnya.

Zizi bahagia dan bersyukur dengan apa yang dimilikinya kini. FOTO- INSTAGRAM ZIZI KIRANA

Dalam masa sama, wanita berusia 37 tahun yang juga merupakan isteri kepada pelakon Yusuf Bahrin itu berkata, status tersebut turut menjadikan dirinya lebih berhati-hati dalam setiap apa yang dilakukan.

“Setiap kali keluar rumah, saya sentiasa mengingatkan diri tentang status saya sebagai isteri dan wanita. Bila keluar rumah, kita bawa maruah suami, keluarga bersama. Jadi banyak perkara perlu dijaga.

“Ia merangkumi pelbagai aspek, bukan sahaja pergaulan atau aktiviti seharian tetapi juga melibatkan kerjaya.

“Alhamdulillah pengurus saya sangat memahami dan sokong apa yang saya lakukan. Tiada yang apa yang susahpun, asal sahaja kita tahu bezakan mana yang baik dan buruk,” katanya.

Iklan

Single baharu

Berkongsi tentang perkembangan kerjaya seninya, selain bakal tampil dalam konsert Faztival Fazura 2022 yang akal berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil pada 11 September depan, Zizi juga sibuk mempromosikan single Pijak yang telah dilancarkan pada April lalu.

Karya yang dihasilkan Mambang, Navigator dan Zizi sendiri itu masih lagi mengekalkan genre dan vibe sama sebagaimana identiti muziknya sebelum ini. Malah muzik video lagu itu juga kini sudahpun meraih tontonan sebanyak 1.2 juta di saluran YouTube.

“Alhamdulillah lagu ini diterima baik peminat walaupun mungkin agak perlahan dan mengambil sedikit masa untuk mempromosikannya.

“Single ini sepatutnya rilis lebih awal, tetapi disebabkan pandemik, ia tertangguh seketika. Disebabkan tidak mahu simpan lagu lama-lama, saya putuskan untuk rilis pada April lalu.

“Ketika itu aktiviti promosi tidak dijalankan secara aktif kerana bulan puasa dan selepas itu barulah dapat fokus semula untuk memperkenalkan single baharu ini kepada peminat,” katanya.

Iklan

Dalam pada itu, Zizi berkata, beliau juga dalam perancangan untuk menghasilkan single berkonsepkan ketuhanan dan dijangka menemui peminat pada tahun depan.

Bukan semata-mata kerana imej dan penampilan yang dibawa, tetapi jelas Zizi semenjak sebelum bergelar artis lagi, beliau sememangnya sangat gemar kepada karya sebegitu termasuk qasidah dan selawat.

“Sebenarnya sejak kecil lagi saya memang dekat dengan qasidah, selawat dan seumpamanya. Bila saya kongsi dengan peminat, ramai pula yang suka dan minta lagi dan lagi.

“Alhamdulillah saya seronok bila dapat berkongsi sesuatu yang positif begini dengan lebih ramai orang dan mereka menerima dengan baik.

“Bagaimanapun, itu bukan bererti saya sudah beralih-arah atau menukar hal identiti muzik saya. Cuma saya mahu seimbangkan perkara itu. Apa yang pasti, kita kongsi perkara yang positif sahaja” akhirinya.