NAMA Ruzana Ibrahim barangkali bukan asing lagi buat peminat industri drama tempatan.

Mula menyertai dunia seni menerusi penglibatan dalam teater muzikal Puteri Gunung Ledang terbitan Enfiniti Production pada 2006, anak jati Kuala Lumpur itu terus sukses dalam beberapa teater lain selepas itu P. Ramlee The Musical, Dream Girls Broadway Musical, The Secret Life Of Nora, Seussical The Musical, Short & Sweet Musical, Mencari Sumaiyah dan banyak lagi.

Tidak hanya terhad di dunia pementasan teater, Ruzana pernah mencuba nasib dalam bidang seni suara menerusi program realiti Gang Starz pada 2007 bersama Nadia Aqilah dan Eenaz Mokthar membentuk kumpulan Luscious.

Minat yang mendalam terhadap dunia lakonan mendorong selebriti berusia 37 tahun itu meneruskan kerjaya dalam bidang seni dan muncul dalam beberapa buah drama seperti Tari Tirana, Tuan Anas Mikael, Isteri Tuan Ihsan, Misteri Mona, KL Gangster: Underworld 2 dan terbaharu, Hawa.

Bersih daripada sebarang kontroversi liar membuatkan nama Ruzana tidak selalu diperkatakan, namun berkat komitmen dan pengalaman luasnya, sedikit demi sedikit, kelibat pelakon tinggi lampai ini mula menjadi perhatian.

Apatah lagi, lakonan mantapnya dalam menjayakan watak antagonis sedikit sebanyak mencuri perhatian ramai dan Ruzana juga sering diberi kepercayaan untuk membawakan watak yang ‘gelap’ dan berat seperti itu.

Bagaimanapun di sebalik kepercayaan yang diberikan oleh penerbit dan pengarah untuk membawakan watak sama, sepupu kepada Sazzy Falak ini tidak mahu terus selesa.

Bagi Ruzana, sebagai pelakon, dia perlu memberi acuan berbeza dalam kerjaya seninya agar orang tidak melihat hanya satu sisi keupayaannya.

“Tidak dinafikan saya selalu diberi kepercayaan untuk membawa watak antagonis sehingga ada yang melihat saya sebagai pelakon stereotaip.

“Mungkin juga sudah jadi satu kebiasaan dalam industri lakonan kita, kalau seseorang itu mampu menjayakan watak jahat contohnya, dia biasanya akan diberi kepercayaan untuk membawa watak itu dalam projek lakonan seterusnya.

“Jadi sebab itu saya cuba elak untuk menjadi pelakon stereotaip dan mahu juga mencuba membawa watak yang berbeza.

“Saya tak kisah diberikan watak yang kuat atau berat, asalkan tidak terikat dengan satu sisi sahaja,” katanya ketika ditemui pada sidang media drama Hawa yang diadakan secara maya baru-baru ini.

Ruzana, Nadiya Nisaa dan Bella Dowana merupakan barisan pelakon utama drama Hawa, di samping Tam Suhaimi selaku pengarah.

Tambah Ruzana, ketika ditawarkan watak Angah atau Fauziah untuk drama Hawa, dia bertanya tentang wataknya terlebih dahulu.

“Pada awalnya saya tak dapat buat sebab ada projek lain, tetapi Nadiya Nisaa pujuk saya untuk buat. Soalan pertama yang saya tanya, watak antagonis atau protagonis.

“Bila pihak produksi jelaskan watak saya dan saya dapat tahu juga drama ini diarahkan Tam Suhaimi serta ditulis oleh Baizura Kahar, saya terus bersetuju,” jelasnya.

Drama terbitan Infinitus Productions Sdn Bhd itu sudah pun menemui penonton di Astro Ria, setiap Isnin hingga Khamis, jam 10 malam.

Iklan

Selain Ruzana dan Nadiya Nisaa, drama 13 episod itu turut dibintangi Bella Dowanna, Hamidah Wahab, Donna Muslim, Akmal Abdullah, Shah Faris dan Yusri Saleh.

Rindu berlakon

Dalam pada itu, ditanya mengenai survivalnya dalam mengharungi tempoh sukar kerana tidak dibenarkan untuk keluar bekerja akibat pandemik Covid-19, Ruzana berkata, dia melalui saat sukar itu dengan positif pada awalnya.

“Semasa Covid-19 melanda Malaysia tahun lalu dan tempoh kawalan pergerakan dikuat kuasa, saya masih positif melalui situasi mencabar itu, lagipun ketika itu banyak benda viral yang boleh dicuba.

“Kemudian saya kembali bekerja dan sempat membuat sedikit simpanan yang membantu saya untuk bertahan pada tahun ini.

“Bagaimanapun sama seperti orang lain, saya juga terjejas kerana sempat menjayakan dua projek sahaja untuk tahun ini, itu pun masih tertangguh.

Iklan

“Sebagai pelakon, saya faham dengan syarikat produksi yang tidak dapat membuat pembayaran sebab bila projek tak jalan, macam mana nak pusing duit untuk bayar pelakon pula.

“Jadi saya dan suami saling bantu membantu mencukupkan apa yang kurang,” jelasnya.

Ruzana mengakui sudah merindui set penggambaran dan berharap dapat kembali bekerja secepat mungkin.

Ruzana berkata, dengan beberapa negeri sudah memasuki fasa 2 Pelan Pemulihan Negara, dia berharap dapat kembali bekerja secepat mungkin.

“Bila dah lama duduk di rumah, saya memang rindu sangat untuk kembali bekerja dan harap dapat keluar bekerja dalam masa terdekat kerana sudah ada produksi yang memulakan penggambaran di negeri yang sudah memasuki fasa kedua.

“Saya juga berharap daripada kru hingga pelakon menjalankan tanggungjawab untuk ambil vaksin dan memenuhi syarat yang ditetapkan kerajaan untuk kembali bekerja,” ujarnya