Adam Shamil dedikasi single pertama pada ibu, nenek

A
A
A

MULA mengecap populariti sebagai pempengaruh digital, Adam Shamil Misran atau nama pentasnya sebagai Adam Shamil kini bersedia untuk mengorak langkah lebih jauh dalam industri hiburan sebagai penyanyi.

Sebagai permulaan, bakat baharu di bawah syarikat pengurusan World Peace Entertainment (WPE) Sdn Bhd, juga dinaungi oleh Ismail Izzani dan Naim Daniel, tampil single berjudul Bantu hasil kolaborasi Shazriq Azeman, Darien, Omar K dan Adam sendiri.

Bait-bait lirik lagu ini menjurus tentang hal menghargai pengorbanan seseorang yang bersama kita dalam apa jua perihal kehidupan baik dalam susah mahupun senang.

Elemen relatable dan easy listening disuntik untuk single Bantu serta lirik digubah dengan susunan singkat dan ringkas tetapi mempunyai mesej mendalam untuk pendengar yang melalui perkara sama.

“Sebenarnya lagu Bantu ini didedikasikan kepada ibu dan nenek saya. Dua insan ini banyak membantu memberi semangat dan dorongan dalam apa jua yang saya lakukan.

“Saya bertuah kerana semua komposer yang terlibat tahu apa yang dimahukan dari apa yang saya cerita.

“Jadi saya dedikasikan lagu ini kepada ibu yang merupakan ibu tunggal dan nenek saya. Kedua-duanya adalah kekuatan saya dan tidak akan berada di sini hari ini tanpa bimbingan mereka,” katanya.

Ibu dan nenek menjadi tulang belakang karier Adam Shamil.

Bercerita lanjut mengenai Bantu, jejaka berusia 29 tahun yang berasal dari Kota Kinabalu, Sabah itu mengangkat muzik balada yang sememangnya sesuai dengan vokal serta mesej penghargaan yang ingin disampaikan dalam lagu tersebut.

“Diharapkan mesej yang ingin disampaikan kepada pendengar dapat meninggalkan kesan positif kepada orang ramai.

“Ia adalah karya indah didedikasikan untuk seseorang yang telah bersama anda, melalui perjuangan dan membantu membentuk anda menjadi orang yang seperti hari ini.

“Walaupun suatu hari orang itu meninggalkan dunia ini, anda boleh tenang dengan mengetahui bahawa mereka akan sentiasa bersama walaupun secara rohani,” jelasnya.

Bersedia

Dalam pada itu, Adam yang pernah dilamar oleh United International Pictures untuk menemubual pelakon dan pengarah filem Hollywood Pacific Rim: Uprising di Beijing, China, sudah bersedia dengan sepak terajang dunia seni.

Bahkan personaliti digital pertama dari Sabah yang dipaparkan oleh Netflix untuk iklan komersial di seluruh negara itu bersedia untuk berulang-alik dari ke Kuala Lumpur sekiranya diperlukan.

“Saya sudah bersedia dengan cabaran dunia hiburan serta pernah diuji dengan pelbagai pahit getir termasuk menerima komen-komen nakal di laman media sosial.

“Sebagai seorang yang ‘hidup’ di laman media sosial, saya tahu segala gerak geri saya akan menjadi perhatian. Jadi saya cuba sentiasa memastikan agar setiap hantaran yang dikongsi dengan pengikut mempunyai nilai positif.

“Jika terdapat teguran mahupun sebarang unsur negatif, saya ambil maklum dan jadikan ia sebagai penguat semangat untuk bekerja lebih keras dan cemerlang dalam membina jenama sendiri,” katanya.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca